2 minggu menjelang konsert, Amy Search ‘berpantang’

ANTARA debar dan teruja menunggu tarikh konsert pada 26 April ini, penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search enggan melanggar pantang demi menjaga vokal dan stamina.

Amy atau nama lengkapnya Suhaimi Abd. Rahman, 66, berkata, selain mengawal pengambilan makanan, stamina juga ditingkatkan menerusi rutin senaman agar mampu beraksi selama dua jam setengah dalam persembahan mega itu nanti.

“Persiapan Amy Search Magic Konsert Solo Pertama sudah dimulakan sejak beberapa bulan lalu tetapi menjelang dua minggu lagi tarikh itu saya semakin memperketatkan rutin senaman dan elakkan makanan tertentu.

“Sudah tentu pada usia sekarang ini saya perlu pastikan diri kekal sihat dan bertenaga. Penyanyi umpama pemain bola kerana perlu kekalkan stamina supaya dapat berikan persembahan yang mantap.

“Untuk saya mengadakan persembahan selama dua jam setengah itu adalah sesuatu yang menyeronokkan apatah lagi dapat berinteraksi dengan peminat dan  membawa pulang kenangan terindah,” katanya.

Mengenai konsert di Axiata Arena Bukit Jalil itu, beliau bersyukur dikurniakan kekuatan dan kesihatan untuk berdiri di pentas besar demi menghiburkan peminat yang tidak pernah jemu menyokong sejak empat dekad lalu.

“Setiap kali merealisasikan konsert, saya dapat rasai satu kepuasan. Sebagai penghibur, saya sentiasa mahu berada di atas pentas dan menghiburkan pendengar.

“Bagi saya, semakin kerap membuat persembahan, semakin banyak ilmu dan pengajaran baru yang dapat saya pelajari,” ujarnya.

Pada masa sama, ikon rock itu berkata, sekitar 20 hingga 25 seleksi lagu akan dipersembahkan pada malam berkenaan terutama yang menjadi siulan ramai.

“Sudah tentu lagu kegemaran kalian tak perlu saya nak cakap, saya akan nyanyikan. Saya janji akan berikan persembahan terbaik.

“Cuma saya nak anda hadir dan kita akan sambut Aidilfitri bersama dalam suasana yang penuh bermakna,” katanya.

Hari bersejarah itu turut menampilkan pengarah konsert berpengalaman, Jennifer Thompson, yang bertanggungjawab memastikan perjalanan persembahan lancar.

Sebelum ini, Rock It Like Amy  diumumkan sebagai tema konsert, sekali gus menggalakkan penonton mengenakan gaya fesyen yang mencerminkan semangat dan identiti rock n’ roll.

Tiket boleh ditempah menerusi laman sesawang www.wowtix.com.my bermula pada harga RM188.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok