Damba bahagia, selamat tinggal fasa bujang!

SETIAP pasangan bercinta pasti punya impian untuk melangkah ke alam perkahwinan dan membina keluarga bahagia.

Perkara sama turut dilalui selebriti Korea Selatan yang teruja mengakhiri kisah percintaan dengan ikatan sah.

Tahun ini difahamkan ada beberapa artis bakal mendirikan rumah tangga dengan pasangan masing-masing.

Kali ini Kimchi Panas bawakan bintang Korea Selatan yang akan mengakhiri zaman bujang dalam masa terdekat.

Ailee


SELEPAS lebih setahun mengenali hati budi, penyanyi Ailee kini bersedia menjadi isteri kepada pelakon Choi Si-hun.

Pasangan terbabit difahamkan bakal mengadakan majlis resepsi pada 20 April ini, namun tidak dapat dipastikan sama ada berlangsung secara tertutup atau sebaliknya.

Mereka bertemu melalui kenalan dan akhirnya jatuh cinta antara satu sama lain.

Penyanyi berusia 35 itu berjanji akan meneruskan karier seni dengan lebih matang dan bertanggungjawab selepas bergelar isteri.

Nam Bo-ra

OKTOBER tahun lalu, pelakon Nam Bo-ra mengejutkan ramai apabila mendedahkan bakal mendirikan rumah tangga pada Mei ini.

Difahamkan, bakal suaminya melamarnya ketika mereka bercuti di Jepun selepas bercinta lebih dari dua tahun.

Pelakon drama The Moon Embracing The Sun dan tunangnya bertemu di gereja dan mula menjalinkan persahabatan sebelum bercinta.

Dalam masa sama, Bo-ra menyifatkan tunangnya sebagai lelaki ideal dan pilihan tepat menjadi suaminya.

Hyomin


PADA Februari lalu, ahli kumpulan T-Ara iaitu Hyomin memaklumkan bakal mengakhiri zaman bujang pada 6 April ini.

Majlis perkahwinannya akan diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri keluarga serta teman rapat memandangkan bakal suaminya bukan selebriti.

Hyomin atau Park Sun-young itu memaklumkan tunangnya bekerja dalam sektor kewangan dan memiliki rupa paras yang sangat tampan.

Wanita berusia 35 tahun itu memutuskan untuk berkahwin selepas tertarik dengan karakter dan budi bahasa jejaka itu.

Jung Eun-hye

PELAKON Jung Eun-hye yang merupakan aktres pertama sindrom Down Korea Selatan akan berkahwin pada 3 Mei ini.

Khabar gembira itu dikongsikan melalui YouTube dengan memaklumkan dia bertemu tunangnya, Jo Young-nam yang mempunyai kecacatan intelektual di Amazing Outsider Art Center, tempat mereka bekerja.

Pelakon berusia 34 tahun itu mendedahkan Young-nam tertarik kepadanya pada pertemuan pertama sekitar Februari tahun lalu dan mereka segera menjalinkan hubungan.

Dalam masa sama, Eun-hye memuji tunangnya yang sentiasa menyokong dan menjadi penguat semangat buatnya.

Kim Jun-ho, Kim Ji-min

PASANGAN pelawak Kim Jun-ho dan Kim Ji-min akan melangsungkan perkahwinan pada 13 Julai ini di Seoul.

Pengumuman tersebut dibuat pada Februari lalu menerusi hantaran Instagram khas untuk peminat selain memberitahu mereka sudah bertunang pada Disember lalu.

Kedua-dua mereka menzahirkan ucapan terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong hubungan mereka sejak tiga tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok