‘Ujian air kencing Zahnita negatif’

Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap bekas pelakon dan model terkenal Zahnita Dorothy Hussein Wilson dilakukan susulan terdapat laporan polis.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, ujian dilakukan bukan disebabkan permohonan Zahnita menggunakan pengiring polis untuk mengambil dua anaknya dari rumah suaminya pada 11 Disember lalu.

“Memang ada laporan polis dan dia sendiri datang ke balai polis sebelum ujian saringan air kencing dilakukan.

Keputusan ujian air kencing adalah negatif,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin Kosmo! melaporkan wanita berusia 39 tahun itu mendedahkan dia diminta melakukan ujian saringan air kencing oleh pihak berkuasa bagi membuat permohonan mendapatkan khidmat polis pengiring untuk menjemput dua anaknya di rumah suaminya.

Menurut Zahnita atau Zahnita Dorothy Hussein Wilson,39, dia bersetuju untuk melakukan prosedur tersebut walaupun tidak mengetahui motif sebenar dan hasil saringan adalah negatif daripada sebarang penggunaan bahan terlarang.

Sebelum ini Zahnita membuat pendedahan dalam media sosial berhubung keganasan rumah tangga yang sedang dihadapinya.

Menerusi perkongsian foto dalam media sosial pelakon itu memaparkan bukti bahagian mata kirinya dalam keadaan lebam selepas mendakwa berlaku pergaduhan bersama suaminya Abdul Zackery Ghouse Abd. Ghani,46.

Zahnita seterusnya memfailkan permohonan cerai terhadap Abdul Zackery di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan pada 3 Disember lalu.

Dia juga mendapat hak penjagaan sementara interim dari Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 6 Disember lalu.

Pada 5 Disember lalu Abd Zackery didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas pertuduhan mencederakan bekas pelakon itu.

Manakala pada 9 Disember lalu dia juga berjaya mendapat perintah perlindungan interim (IPO) daripada Mahkamah Majistret Kuantan bagi melindungi diri dan anak-anaknya daripada Abdul Zackery. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok