HUJAN lebat di Kuala Lumpur tidak menghalang lebih 3,000 peminat untuk mengikuti konsert Akon The Superfan Tour Live in Malaysia & Singapore di Mega Star Arena baru-baru ini.
Dibawakan syarikat milik penyanyi dan pelakon Harris Baba, Jeeharris Entertainment, persembahan mega komposer merangkap penghibur popular itu menyaksikan kehadiran penonton tempatan dan luar negara.
Bagai magnet, Akon si penyanyi Amerika Syarikat berdarah Senegal itu membuatkan penonton turut sama menari mengikut irama sepanjang dua jam persembahan berlangsung.
Memulakan aksi tepat pukul 8.30 malam, rapper tersohor itu memanaskan pentas dengan lagu Beautiful Day, I’m So Paid, Lock Up, Ghetto dan Soul Survivor To Kush.
Memahami kehendak khalayak, Akon tidak membuang masa berceloteh panjang sebaliknya sempat menyapa peminat Malaysia dengan menyatakan keterujaan berkunjung ke negara ini.
Tanpa melengahkan masa, repertoire persembahan dihangatkan lagi dengan dendangan hit Againts the Grain, Sweetest Girl, Bartender, Body on Me serta I’m Back.
Seperti judul lagu Hyponitize terbitan tahun 2007 yang menjadi pilihan pada malam itu, penonton bagai dipukau hingga ruang hadapan pentas menjadi lantai tari buat peminat tegarnya
Peminat Gen Z
Biarpun sebahagian besar merupakan kelompok Gen Z, boleh dikatakan mereka mampu menghafal seleksi dendangan Akon yang dikenali ramai sekitar 1996.
Sekali lagi penonton bersorak apabila Againt The Grain yang menampilkan penyanyi Ray Lavender dalam rakaman asal pula berkumandang disusuli Belly Dancer, Don’t Matter, Dansa Kuduro dan Mama Africa.
Sebuah lagi lagu ciptaannya yang disampaikan bersama Bone Thugs-n-Harmony iaitu I Tried menjadikan graf persembahan semakin meningkat.
Bagai tidak terasa masa berlalu, momentum aksinya naik berlipat kali ganda apabila deretan lagu ‘berhantu’ seperti Sorry Blame Me, Lonely, Dangerous, I Wanna Love You dan Smack That pula mengisi acara.
Menguasai pentas dengan bertenaga pada usia 51 tahun, kekurangan sistem penataan bunyi ditutup dengan aksi energi luar biasanya.
Membawa kepada kepada babak penutup, Akon memilih Sweet Escape, Chammak Challo, Right Now To Beautiful, When The Rise Up dan Freedom sebelum mengundur diri dari pentas.
Pelan 2025
Sementara itu, Harris selaku penganjur berbesar hati dengan maklum balas ramai terhadap konsert Akon di Kuala Lumpur dan Singapura sekali gus bakal membawakan lebih banyak konsert artis antarabangsa.
Melihat sambutan kami gembira kerana keputusan membawakan Akon sebagai pilihan tepat dan mendorong syarikat kami menerbangkan banyak lagi penghibur lain.
“Tahun 2025, selain konsert artis antarabangsa, Jeeharris Entertainment mempunyai perancangan merealisasikan persembahan komedi berdiri mega,” katanya. – HIBGLAM