MAESTRO muzik, Datuk M Nasir dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan yang membawa gelaran doktor pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-26 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, hari ini.
Menerima anugerah tersebut daripada Raja Permaisuri Perak yang juga Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim, M. Nasir atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Mohamed, 67, berkata, itu satu penghormatan cukup besar yang diterima sepanjang 45 tahun dalam industri seni muzik tanah air.
Anugerah ini sangat besar buat saya, Saya terharu dan berterima kasih terhadap UPSI yang menghargai perjuangan saya sepanjang 45 tahun dalam arena seni. Terima kasih kerana memberi penghormatan ini.
“Anugerah ini menjadi lebih bermakna apabila diberi sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengutamakan pendidikan dalam bidang seni,” katanya.
Nasir turut melihat gelaran doktor diterima sebagai kepekaan UPSI terhadap perkembangan industri hiburan tanah air biarpun pemberian anugerah sebegitu bukan sesuatu yang baharu.
Ini membuktikan UPSI mengikuti perkembangan semasa dunia seni. Ini suatu penghormatan buat semua penggiat industri secara keseluruhan,” katanya yang sudah berkolaborasi dengan universiti tersebut sejak lapan tahun lalu.
Sebelum ini, syarikat rakaman M. Nasir, Luncai Emas Sdn Bhd menjadi rakan strategik UPSI melalui perjanjian persefahaman sejak 2016 sehingga sekarang.
“Ramai pelajar UPSI menjalani latihan amali di syarikat saya,” katanya yang menjadi pakar rujuk dan penasihat dalam bidang seni persembahan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI sejak 2021.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Md Amin Md Taff berkata, penganugerahan penyanyi dan komposer terbabit adalah berdasarkan pengalaman seninya selama lebih empat dekad.
Katanya, Nasir turut bertanggungjawab sebagai pakar rujuk dan penasihat dalam bidang seni persembahan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI sejak 2021, selain syarikatnya, Luncai Emas menjadi rakan strategik UPSI melalui perjanjian persefahaman sejak dari 2016 sehingga kini.
“Sumbangan M. Nasir sangat besar dalam mengangkat martabat seni muzik, mencapai tahap berprestij serta signifikan dengan pembangunan pendidikan negara dan pemikiran rakyat menerusi muzik.
“Seni kata lagu pertama beliau ditulis untuk lagu kumpulan Alleycats bertajuk Senandung Semalam pada 1978, manakala lagu pertama ciptaan beliau adalah Hujan yang dirakamkan kumpulan Sweet Charity,” katanya.
Istiadat yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah itu turut menyaksikan penyanyi, Datuk Nash menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan secara APEL Q.
Nash atau nama sebenar, Nashrudin Elias yang aktif sebagai penyanyi bermula 1986 dan pernah menganggotai kumpulan Lefthanded terkenal dengan lagu Pada Syurga Di Wajahmu dan Zahir Tak Terucap.
Kedua-dua penghibur dihormati ramai itu turut mempersembahkan nyanyian masing-masing sebagai selingan pada sesi pertama konvokesyen.
Pada masa sama, Md Amin berkata, konvokesyen UPSI kali ke-26 menyaksikan seramai 7,172 graduan menerima ijazah masing-masing.
Katanya, daripada jumlah itu seramai 154 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (943), Ijazah Sarjana Muda (4,768), Diploma (755) dan 552 graduan menerima Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah. – HIBGLAM