PELAKON Alif Hadi mengakui menghafal dan membaca ayat suci al-Quran dengan tajwid yang betul adalah cabaran terbesar bagi menjayakan watak dalam filem terbaharu lakonannya, Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu.
Menurut pemilik nama Muhammad Alif Abdul Hadi, 36, itu, dia berasa tercabar kerana perlu menghafal beberapa ayat suci al-Quran dan surah dalam tempoh agak singkat.
“Sangat mencabar bawa watak Hafiz ini kerana saya diberikan masa yang sangat suntuk.
Memang agak tertekan sebab sedar watak ini bukan senang apabila memerlukan saya menghafal surah al-Baqarah, an-Nisa dan ayat pemisah sihir.
“Sewaktu di set penggambaran tak menjadi satu masalah pun cuma proses sebelum penggambaran itu agak mencabar kerana saya perlu menghafal ayat-ayat suci al-Quran tersebut dengan pantas,” katanya kepada HibGlam selepas majlis tayangan gala filem tersebut baru-baru ini.
Menurut Alif, pengalaman belajar mengaji selama dua tahun di tadika milik gerakan al-Arqam banyak membantunya.
“Saya tiada latar belakang belajar di sekolah agama pun cuma pernah masuk tadika al-Arqam sahaja.
Saya belajar di tadika itu sejak berusia empat tahun sehingga enam tahun. Paling saya ingat kena pakai jubah berwarna hijau.”
“Waktu itu saya duduk di Kuang, Selangor dan di situ merupakan kawasan perkampungan mereka,” jelasnya.
Bercerita tentang pengalaman pelik sepanjang bersekolah di tadika tersebut, Alif turut mendedahkan pernah minum air basuhan tangan selepas makan beramai-ramai dengan pelajar lain ketika.
“Saya pun tak ingat sangat memori ketika itu cuma paling tak dilupakan ialah pengalaman makan ramai-ramai dalam dulang.
Kamudian, kami basuh tangan dan minum air basuhan tangan itu sama-sama. Memang berminyaklah air itu.
“Saya juga ingat pesanan mereka untuk tengok bulan pada waktu malam setiap kali balik dari kelas mengaji sebab nanti akan ada muka Abuya di langit tetapi tiada pun,” ujarnya lagi.
Menerusi filem arahan Pierre Andre itu, Alif membawa watak sebagai Hafiz yang juga seorang pengamal perubatan Islam.
Selain Alif, filem seram itu turut dibintangi Emma Maembong, Khatijah Tan dan Iedil Putra. – HIBGLAM