KALAU ditanya konsert paling ‘merintih’ setakat tahun ini, penulis tidak teragak-agak mencalonkan Malam Galau Kuala Lumpur X Juicy Luicy.
Mengubat penantian ramai, kehadiran band asal Indonesia, Juicy Luicy pada malam tersebut berjaya membuak-buakkan jiwa galau hampir 2,500 penonton yang hadir.
Berlangsung meriah di Zepp Kuala Lumpur (KL), kumpulan yang dianggotai Julian Kaisar (vokalis), Denis Ligia (gitar elektrik), ZamzamY.M (saxophone dan gitar akustik), Dwi Nugroho (drum), dan Bina Bagja (bass) berjaya menyita emosi setiap yang hadir, ikut menyanyi seperti dipukau!
Ada yang menangis, merintih dan menjerit melepaskan rasa lelah yang sekian lama bertakung dalam diri. Itu yang dapat disaksikan sepanjang Juicy Luicy mendendangkan 15 buah lagu pada malam tersebut.
Menyapa mesra peminat di Malaysia, Julian atau mesra disapa sebagai Uan mengakui teruja kerana akhirnya berpeluang menghiburkan peminat tegar mereka di sini.
Dia juga sempat bergurau bahawa semua mesej yang terkandung dalam lagu-lagu yang dibawakan pada malam tersebut berkaitan dengan patah hati.
“Apa khabar Kuala Lumpur? Terima kasih mengundang kami dan akhirnya Juicy Luicy manggung (membuat persembahan) di sini.
Maaf lagu kami tiada yang boleh menggembirakan, kebanyakannya sedih. Kalau ada pun cuma satu iaitu Cuma Sama
“Kamu, boleh nikmati untuk yang sudah memiliki kekasih.
Kepada yang masih berstatus solo, semoga kalian semua sihat dan dimurahkan rezeki serta memiliki wang yang banyak,” katanya.
Antara lagu yang paling membekas dalam ingatan termasuklah, Lantas, Tampar, Lampu Kuning dan Bukan Orangnya.
Lagu lain yang turut dipersembahkan dipetik daripada dua album mereka iaitu Sentimental dan Nonfiksi.
Antaranya termasuklah Mawar Jingga, Terlalu Tinggi, Cuma Sama Kamu, Cuma Sama Kamu dan Tanggungjawab.
Mereka turut membuat kejutan dengan mengundang penyanyi, Aisha Retno dan Aziz Harun mendendangkan lagu Sialan yang merupakan lagu duet Juicy Luicy bersama Adrian Khalif serta Mahalini.
Ternyata gandingan Aisha dan Aziz tidak mengecewakan dan meraih pujian ramai kerana berjaya membawa lagu yang viral tersebut dengan baik.
Sebelum Juicy Luicy, penonton terlebih dahulu dihiburkan dengan persembahan penyanyi Indonesia, Allan Anderson dan empat band Malaysia iaitu Transitions, Patriots, Vota dan Kureiji.
Selain lagu saduran atau cover song, empat band tersebut turut mengambil peluang mendendangkan single mereka seperti
Kita (Kureiji), Souled Out (Vota), Parasite (Patriots) dan Konversasi Sulit: Tentang Kamu (Transitions).
Selepas berjaya mengadakan 14 konsert di bawah jenama Malam Galau, wakil Hashtag Media selaku penganjur iaitu Elmi Elmo mengumumkan tidak akan meneruskan lagi acara tersebut atas beberapa faktor.
Baginya, penglibatan band-band tanah air dan penyanyi popular untuk setiap edisi antara antara faktor Malam Galau berjaya mendapat tempat dalam hati setiap pencinta muzik serta penyokong konsert tempatan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong dan pernah terlibat dengan Malam Galau, termasuk kumpulan indie mahupun artis popular.
Mereka sanggup bertolak ansur soal bayaran kerana faham tiket Malam Galau dijual murah.
“Konsert yang pernah berlangsung sebelum ini tidak hanya memberi impak kepada kami penganjur, tapi para artis yang pernah beraksi. Kami akan rindu aura dan segalanya tentang Malam Galau,” katanya. – HIBGLAM