5 bintang kimchi dipangkah ramai

KEHIDUPAN sebagai selebriti yang kelihatan serba indah mencetuskan angan-angan kepada banyak individu untuk bergelar artis.

Hakikatnya banyak ranjau yang perlu ditempuhi sehingga ada antara selebriti yang menghidap masalah mental gara-gara impak status disandang.

Kehidupan golongan popular yang sentiasa menjadi tatapan umum juga berisiko membuatkan seseorang artis itu dibenci terutama apabila terpalit kontroversi negatif. Pernah menyenaraikan nama artis dibenci atas alasan tidak masuk akal,

Daebak membawakan lima lagi nama selebriti yang terlibat dalam isu sama.

Han So-hee

GARA-GARA bertatu dan merokok, pelakon Han So-hee teruk dikecam netizen.

Situasi tersebut membuatkan rakan baiknya tampil mempertahankan pemilik nama sebenar Lee So-hee, 31, itu daripada terus dikutuk.

“Tatu dan merokok akan timbul isu sekiranya dilakukan oleh golongan wanita tetapi zaman sekarang ramai sahaja yang berperwatakan seperti itu,” kata rakannya.

Kang Dong-won

PELAKON Kang Dong-won sering kali meraih pujian sepanjang bergelar anak seni.

Bagaimanapun, dia pernah dikecam segelintir pihak ketika sidang akhbar filem Peninsular kerana mengenakan fesyen seakan-akan ‘lelaki pertengahan umur’.

Disebabkan itu, ramai berpendapat wajahnya tidak kelihatan kacak seperti dahulu.

Namun, Dong-won menghormati pandangan orang ramai dengan memaklumkan keadaannya ketika itu tidak begitu baik.

Dia juga memberitahu bahawa usianya sudah meningkat.

Gong Hyo-jin

MESKIPUN hanya memuat naik sekeping gambar bersama aktor Kang Ha-neul, pelakon Gong Hyo-jin teruk dikecam netizen.

Ramai yang menyifatkan aktres drama Master’s Sun itu tidak sesuai untuk bergambar di sebelah lelaki kacak kerana memiliki wajah biasa.

Tidak melenting dengan kenyataan tersebut, Hyo-jin langsung meminta maaf kepada individu yang melontarkan komen jahat terbabit.

Jang Keun-suk

KEDENGARAN seperti lucu tetapi pelakon Jang Keun-suk pernah dikecam kerana isu pertambahan berat badan.

Ada yang mengecamnya kerana mendakwa dia tiada usaha untuk membuang lemak yang bersarang.

Ramai mengakui muak melihat penampilan aktor berusia 37 tahun itu yang berubah seolah-olah tidak terurus.

Lee Ro-eun

BIARPUN masih kecil, pelakon Lee Ro-eun dikecam netizen kerana memainkan watak kanak-kanak berusia dua tahun dalam drama popular The World of the Married.

Ramai yang merasakan pelakon berusia tujuh tahun itu terlalu besar untuk watak tersebut sehingga sanggup meninggalkan komen kasar.

Disebabkan itu, keluarga Ro-eun terpaksa meminta netizen jangan menganggunya kerana dia terlalu kecil untuk berhadapan perkara tersebut. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok