‘Soal perceraian orang bebas berkata apa sahaja, saya sudah buat sepatutnya’

DIDAKWA gagal menunaikan nafkah kepada bekas isteri, vokalis Butterfingers, Emmett memilih untuk tidak melayan segala dakwaan dan spekulasi sebaliknya menyerahkan segala urusan kepada Allah.

Ujar Emmett atau nama sebenarnya Emmett Roslan Ishak, 49, urusan perceraian telah diselesaikan mengikut landasan syariah dan dia enggan terus mengulas perkara bersifat peribadi itu.

Saya ikut landasan syariah. Tapi kalau orang mahu ikut cara orang Barat, silakan. Pada akhirnya, saya berserah kepada Al-Muqsit.

“Tentang perceraian, orang bebas bercakap apa sahaja. Saya sudah buat apa sepatutnya. Orang lain boleh mencipta pelbagai cerita. Saya enggan mengaitkan sesiapa kerana saya sendiri mahu teruskan kehidupan.

“Sesiapa sahaja pernah mengenali saya sebelum ini boleh bercakap macam-macam. Biasalah, dalam hidup kita pasti ada orang tidak suka. Saya okey dengan perkara itu,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya reaksi mengenai dakwaan tular membabitkan dirinya itu, Emmett memilih untuk tidak memberi sebarang respons kerana tidak melihat perkara tersebut sebagai sesuatu perlu diperdebatkan di khalayak.

“Saya memang tidak memberi sebarang respons. Orang hendak bercakap tentang tatu saya, kisah silam atau hubungan terdahulu, terpulanglah. Semua itu langsung tidak mengganggu saya.

Sebab itu saya hanya keluarkan satu kenyataan dan selepas itu saya tidak akan ulas lagi. Pertama, perkara ini bersifat peribadi. Kedua, bukan semua orang tahu cerita sebenar. Orang boleh menilai daripada satu sudut sahaja, tetapi untuk membentuk pandangan adil, mereka perlu mengetahui keseluruhan kisah.

“Buat masa ini, fokus saya hanya pada kehidupan baharu. Saya mahu tinggalkan kisah lama di belakang,” ujarnya pada sidang media Konsert Butterfingers 1.2 Milligrams 30, hari ini.

Mengulas sikapnya yang dilihat tenang berdepan kecaman, Emmett mengakui pengalaman hidup banyak mengajarnya untuk menerima setiap ujian dengan lebih matang.

“Saya sudah melalui fasa paling sukar dalam kehidupan, terutama membabitkan hubungan. Saya pernah berada di titik paling bawah sebelum bangkit semula.

“Saya melalui pelbagai pengalaman, melakukan kesilapan dan ada perkara tidak difikirkan dengan baik ketika itu. Pada akhirnya, kita perlu teruskan hidup.

Ketika berdepan masalah, sama ada dalam muzik atau hubungan, kita hanya nampak kesusahan. Selepas masa berlalu dan hati kembali tenang, barulah kita sedar hikmah di sebaliknya. Proses untuk sembuh mengambil masa,” luahnya.

Paling penting kata Emmett, setiap individu perlu memilih untuk terus melangkah dan tidak berpaling lagi.

“Semua orang perlu bergerak ke hadapan. Mengapa mahu terus hidup dalam masa silam?

Kita hidup pada waktu sekarang. Masa lalu sudah berlalu dan masa depan belum berlaku. Jadi, nikmatilah kehidupan pada saat ini,” jelasnya.

Terdahulu, kecoh dalam media sosial apabila terdapat netizen mendakwa Emmett masih belum menyelesaikan urusan perceraian selain menuduh penyanyi itu mengabaikan nafkah bekas isteri serta anak-anak.

Untuk rekod, Emmett pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang wartawan hiburan sebuah akhbar berbahasa Inggeris dan dikurniakan dua cahaya mata.

Namun, pasangan tersebut memilih menyimpan kemas kehidupan peribadi mereka bersama anak-anak.

Penyanyi itu juga pernah berhijrah ke Kanada bersama keluarganya pada 2003 selama enam tahun bagi menyambung pengajian sebelum kembali ke Malaysia.

Kini, Emmett menjalani kehidupan baharu selepas mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya, Nadira Hanum Akbar Shah pada 1 Disember 2024. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok