Bintang legenda Bonnie Tyler meninggal dunia

PENYANYI legenda asal Wales, Bonnie Tyler yang dikenali menerusi lagu ikonik Total Eclipse of the Heart, Holding Out for a Hero dan It’s a Heartache dilaporkan meninggal dunia pada usia 75 tahun.

Tyler menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Faro, Portugal selepas menjalani rawatan susulan komplikasi penyakit yang dihidapinya.

Mendiang dimasukkan ke hospital selepas mengalami sakit pada bahagian abdomen dan belakang sebelum menjalani pembedahan kecemasan melibatkan usus pada April lalu.

Bagaimanapun, keadaan kesihatannya merosot apabila mengalami komplikasi serta jangkitan serius sehingga terpaksa diletakkan dalam keadaan koma.

Bulan lalu, jurucakapnya memaklumkan Tyler sudah sedar daripada koma namun masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Berita pemergiannya disahkan menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman web rasmi penyanyi berkenaan.

Keluarga dan pasukan Bonnie dengan penuh dukacita mengumumkan beliau meninggal dunia secara mengejut malam tadi di sebuah hospital di Portugal akibat penyakit yang sedang dirawat. Kami memohon agar privasi keluarga dihormati ketika melalui saat sukar ini,” menurut kenyataan tersebut.

Dilahirkan sebagai Gaynor Hopkins pada 8 Jun 1951, Tyler mula mencipta nama pada penghujung era 1970-an menerusi lagu Lost in France dan It’s a Heartache.

Namanya kemudian melonjak ke pentas antarabangsa menerusi lagu malar segar Total Eclipse of the Heart pada 1983, diikuti Holding Out for a Hero setahun kemudian yang turut dimuatkan dalam runut bunyi filem Footloose.

Kedua-dua lagu tersebut mencatat jualan melebihi enam juta unit setiap satu sekali gus meletakkan Tyler sebagai antara penyanyi wanita paling berjaya dalam sejarah muzik.

Sepanjang lebih empat dekad bergelar anak seni, Tyler menghasilkan 18 album studio dengan album terakhirnya, The Best Is Yet To Come, diterbitkan pada 2021.

Mendiang turut mewakili United Kingdom dalam pertandingan Eurovision Song Contest 2013 sebelum dianugerahkan pingat Member of the Order of the British Empire (MBE) pada 2022 sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam industri muzik.

Tyler meninggalkan suami, Robert Sullivan yang dikahwininya sejak 1973. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok