‘Semakin banyak bercakap, semakin banyak kesilapan berlaku’

SELEBRITI versatil Raja Azura mendoakan buat rakan selebriti, Abby Abadi yang berdepan kemelut keluarga ketika ini melibatkan anaknya, Marissa Dania Hakim dan bekas suami, Norman Hakim.

Raja Azura, 53, berkata, dia yakin semua kemelut yang berlaku dalam keluarga Abby dan Norman akan menemui titik noktah dan berakhir dengan baik.

Saya doakan semoga Allah SWT memberikan Abby ketenangan dalam dirinya dan sentiasa berada dalam rahmat-Nya. Insya-Allah, dia akan berdamai dengan keluarga.

“Keluarganya semuanya dididik dengan baik. Dia sendiri mendidik anak-anaknya dengan baik, begitu juga Norman.

“Sebelum ini saya juga pernah melihat bagaimana keluarga mereka bersatu. Insya-Allah, pasti ada jalan,” katanya ketika majlis pelancaran dan sidang media Astro Fandom, semalam.

Dalam pada itu, dia juga berpesan kepada setiap ibu bapa agar sentiasa mengutamakan kesejahteraan dan kesihatan mental diri sekiranya berdepan dengan dugaan hidup.

“Sebagai seorang ibu, jangan ambil hati dengan apa sahaja yang berlaku atau simpan dalam hati. Sebab yang paling penting ialah perlu menjaga diri sendiri, hati dan mentaliti.

Jagalah semua itu sebab orang lain tidak akan mampu menjaga dan menyayangi kita melainkan diri sendiri.

“Yakinlah bahawa Allah sentiasa bersama kita dan Dia yang akan mempermudahkan urusan hidup sekiranya kita menjaga hubungan hati dengan-Nya,” ujarnya.

Berkongsi pendapat mengenai trend segelintir pihak yang gemar memuat naik isu peribadi dalam media sosial, dia berkata itu merupakan cara dan pilihan setiap individu.

“Sebenarnya, semuanya bergantung kepada individu itu sendiri, bagaimana dia mencorak dan membawa dirinya, semuanya terpulang kepada dirinya.

Macam saya, saya lebih suka berdiam diri sebab semakin banyak kita bercakap, semakin banyak kesilapan dilakukan dan saya tak mahu jadi begitu.

“Jika saya terlalu banyak bersuara, semakin banyak kesilapan yang saya lakukan dan pada akhirnya akan rasa bersalah kepada diri sendiri,’ ujarnya lagi.

Terdahulu, kemelut antara Abby dan Marissa kembali menjadi bualan selepas Abby memuat naik beberapa hantaran luahan perasaan mengenai isu keluarga.

Semakin bertambah rumit apabila kelibat Abby tidak kelihatan pada majlis ulang tahun kelahiran Marissa baru-baru ini.

Abby juga berkali-kali berkongsi dalam media sosial mengenai tuntutan nafkah tertunggak melibatkan perbelanjaan tiga anaknya yang masih belum dilunaskan Norman. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok