‘Konsert ‘full house’, terbang risau’

DUA puluh tahun menanti untuk mengadakan konsert solo pertama adalah satu penantian yang panjang.

Jika ada penyanyi lain yang baru setahun jagung dalam industri muzik sudàh punya konsert sendiri, Jaclyn Victor pula sebaliknya. Dia harus menanti selama dua dekad biarpun sering disebut antara penyanyi terhebat negara.

Tarikh 12 Oktober 2024 pastinya tidak akan dilupakan wanita yang mesra disapa Jac dan peminatnya. Tarikh tersebut menjadi detik keramat terlestarinya sebuah mimpi menjadi nyata.

Lebih manis konsert berlangsung selepas dua hari ulang tahun ke-20 dijulang sebagai juara sulung Malaysian Idol.

Biarpun pada malam itu hujan lebat membasahi bumi Kuala Lumpur, namun 2,000 peminat setia Jaclyn tetap muncul untuk memberikan sokongan di konsert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert dibuka dengan persembahan lagu Inggeris berjudul When You Believe dan It’s All Coming Back To Me.

BERAWAL dengan seribu kerisauan. Jaclyn cukup berbesar hati apabila konsert sulungnya turut disaksikan nama-nama besar seperti Datuk Sheila Majid dan LIza Hanim. – INSTAGRAM JACLYN

Jaclyn tampil memukau dalam busana berwarna merah menyala rekaan pereka fesyen kesayangannya, Rizman Ruzaini.

Kemunculan Jaclyn tidak ubah seperti seorang diva yang sudah lama menanti untuk menghiburkan para peminatnya.

Selesai membuka persembahan dengan lagu pertama, Jaclyn terus menyapa para penonton yang hadir.

Kenapa saya rasa dahaga sangat ya? Baru lagu pertama” katanya cuba meredakan gemuruh dalam diri.

Namun perkara itu tidak menghalang untuk Jaclyn terus memberikan persembahan yang mantap untuk dua jam seterusnya.

Gemersik vokal Jaclyn memenuhi segenap ruang dan menembusi jiwa-jiwa yang menonton persembahannya.

Lagu-lagu hit seperti Jagalah Diri, Cinta Tiada Akhirnya, Bertamu Di Kalbu dan Gemilang membuai perasaan penonton.

Usai larut dalam emosi, Jaclyn mengajak penonton berdansa pula dengan rangkaian lagu rancaknya seperti Ikut Rentakku, Di Bawah Pohon Asmara, Sebelah Jiwaku dan Kejutkan Aku.

Kehadiran bintang-bintang undangan seperti Hael Husaini yang pernah menjadi protege Jaclyn dalam program realiti Mentor menggamit memori.

Mereka berdua menyampaikan lagu duet popular Jaclyn berjudul Ceritera Cinta dan Sandarkan Pada Kenangan.

PENYANYI Hael Husaini turut membuat kemunculan istimewa menghangatkan konsert Jaclyn.

Tidak ketinggalan rakan baik Jaclyn iaitu Siti Nordiana yang hadir untuk berduet bersama menerusi lagu Nisan Cinta.

Paling dinantikan penonton pastinya gandingan trio 3 suara yang menampilkan Jaclyn, Ning Baizura dan Shila Amzah.

Momen ketiga-tiga mereka beradu suara antara yang paling diingati pada malam itu.

Tiga lagu popular mereka dipersembahkan iaitu Beribu Sesalan, Semua Untukmu dan Di Mana Di Mana.

Antara persembahan yang turut menjadi kegemaran ramai adalah sewaktu Jaclyn menyampaikan lagu Koleksi Gemilang.

Suasana di dalam Zepp Kuala Lumpur bertukar seperti sebuah pusat karaoke gergasi. Lirik lagu tersebut turut dipaparkan di skrin.

Kongsi Jaclyn, lagu tersebut antara yang paling kerap dinyanyikan di pusat-pusat karaoke.

Konsert pada malam itu diakhiri dengan lagu Bollywood, Bole Chudiyan yang pernah dinyanyikan Jaclyn sewaktu menyertai Gegar Vaganza.

JACLYN berduet dengan rakan baiknya, Siti Nurdiana menerusi lagi Nisan Cinta. -INSTAGRAM JACLYN

Biarpun kelihatan kekok dan kaku untuk menari, tetapi persembahan tersebut merupakan sebuah penutup yang ceria dan bertenaga sambil diiringi oleh sekumpulan penari.

Dibelenggu kerisauan

Biarpun terkenal sebagai penyanyi yang mempunyai vokal mantap, namun perkara itu tidak menghalang Jaclyn daripada dibelenggu kerisauan sebelum melakukan konsert sulungnya.

Selain memikirkan tentang jualan tiket, Jaclyn turut risaukan prestasi persembahannya secara langsung kerana kebanyakan lagunya adalah bernada tinggi.

Saya selalu tertanya-tanya ada ke orang nak tengok konsert saya?

“Sebab saya tak pernah buat konsert sendiri selama 20 tahun berada di dalam industri muzik.

“Tetapi bila melihat dewan ‘full house’ saya rasa sangat gembira dan terharu. Rakan-rakan artis juga datang sokong seperti Datuk Sheila Majid, Marsha Milan, Liza Hanim, Wany Kayrie dan ramai lagi.

“Macam-macam yang saya fikirkan sebelum konsert terutamanya tentang vokal. Kalau boleh saya mahu menyanyikan semua lagu saya mengikut nada asal. Lagu-lagu saya pula bernada tinggi.

“Jadi, saya banyak lakukan latihan di pusat karaoke sebelum saya berlatih bersama pemuzik untuk konsert ini,” kongsinya sewaktu sidang media usai konsert berlangsung.

JACLYN bakal muncul dengan album baharu yang menjalani rakaman di New York dalam masa terdekat. 

Pada konsert tersebut juga diumumkan album baharu Jaclyn yang bakal berada di pasaran tidak lama lagi. Istimewanya album baharu ini dirakam di New York.

Beberapa buah lagu turut ditayangkan di skrin sebagai ‘teaser’. Antara yang menarik perhatian tentukan lagu Gemilang versi bahasa Inggeris yang diberi nama Glorious.

Konsert ini pastinya menjadi kenangan terindah buat peminat setia Jaclyn. Tetapi bagi saya seperti ada rasa tidak cukup puas dalam diri. Mungkin kerana ingin melihat Jaclyn membuat persembahan di lokasi yang lebih besar dan berprestij setanding dengan kredibilitinya sebagai penyanyi hebat negara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok