Dia ‘bodyguard’, dialah keluargaku

JIKA di Malaysia, perkhidmatan pengawal peribadi atau ‘bodyguard’ bukanlah satu keperluan utama bagi seseorang selebriti berikutan faktor sekeliling yang kurang berisiko.

Berbeza di Korea Selatan, artis di negara berkenaan sememangnya memerlukan pengawal peribadi bagi menjaga keselamatan dan melindungi mereka. Pengawal peribadi yang sentiasa berada di sisi selebriti juga kadangkala dianggap tidak ubah seperti keluarga sendiri.

Kali ini, Daebak menampilkan lima artis yang sangat akrab, bahkan menganggap pengawal peribadi insan paling dipercayai mereka.

V BTS

KUMPULAN BTS memang sudah terkenal dengan keakraban bersama pekerja tetapi ahlinya iaitu V dilihat lebih rapat dengan pengawal peribadi merangkap pengurusnya.

Perkara tersebut dapat dilihat semasa ketiga-tiga mereka berpengangan tangan di lapangan terbang kerana tempat tersebut dipenuhi peminat.

Pengurusnya bukan sahaja bertindak sebagai penjaga tetapi sentiasa menceriakan hari pemilik nama sebenar Kim Tae-hyung.

IU

BUKAN sahaja terkenal dengan sikap pemurah, penyanyi IU juga sangat menyayangi pengawal peribadinya iaitu Mr. Park yang sudah berkhidmat lebih enam tahun.

Bagi pemilik nama sebenar Lee Ji-eun, Mr. Park bukan sekadar pengawal peribadi tetapi ibarat keluarga yang sentiasa melindunginya.

Difahamkan, Mr. Park bukan sahaja handal mengendalikan tugas bahkan pandai berjenaka dan sering menceriakan aktres itu.

Minzy

SELAIN IU, anggota kumpulan 2NE1 iaitu Minzy juga antara artis yang cukup rapat dengan pengawal peribadinya, Kim Tae-soo.

Telatah Minzy atau Gong Min-ji dengan Tae-soo yang sering meniru gaya masing-masing dan mengambil gambar mencuri perhatian netizen.

Disebabkan itu, Tae-soo menerima tempias populariti penyanyi berusia 30 tahun itu apabila media sosialnya meraih pengikut yang ramai.

Big Bang

BERTAHUN-tahun, Big Bang dijaga seorang pengawal peribadi bernama Choi Jae-ho.

Jae-ho bukan hanya memastikan keselamatan tetapi dia juga memberi sokongan moral buat semua ahli Big Bang. Dia sering memuat naik aktiviti kumpulan lelaki itu dan juga menunjukkan kasih sayang terhadap mereka.

Jeon Somi

PENGAWAL peribadi penyanyi Jeon Somi sudah berkhidmat sejak wanita itu aktif dalam kumpulan I.O.I.

Dikenali sebagai ‘ahjusshi bodyguard’ bukan sahaja mengawal keselamatan pemilik nama sebenar Ennik Somi Douma malah turut melindunginya daripada terkena titisan hujan.

Dia juga pernah dilihat menarik skirt wanita berusia 23 tahun itu apabila terangkat ditiup angin.

Tugas lain yang cekap dilakukannya adalah sentiasa melindungi Somi daripada peminat yang mahu mengambil gambar secara curi-curi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok