Dalam bahagia ada duka, selebriti pilih bercerai

ISU perceraian bukan perkara asing dalam kalangan selebriti. Bahkan tahun ini ada pasangan yang tampak bahagia, tiba-tiba mengambil keputusan berpisah.

Baru-baru ini pelakon Claudia Kim dan Ketua Pegawai Eksekutif DN Korea iaitu sebuah syarikat platform digital hartanah, Cha Min-geun sepakat bercerai selepas lima tahun berumah tangga.

Perkara tersebut membimbangkan peminat, apatah lagi ramai bintang kesayangan mereka tidak terlalu terbuka berkongsi perihal keluarga tiba-tiba sahaja mahu bercerai.

Selain Claudia Kim, Daebak menyenaraikan beberapa selebriti yang kembali solo tahun ini dan tahun lalu selepas nekad berpisah dengan pasangan masing-masing.

Aruem

PENYANYI Han Aruem mengejutkan dunia K-pop apabila mendedahkan perbuatan tidak berperikemanusiaan bekas suaminya, Kim Young-gul.

Kata bekas anggota kumpulan T-ara itu, lelaki berkenaan bukan sahaja tahi judi tetapi sering menderanya sepanjang empat tahun perkahwinan mereka.

Dalam tempoh itu dia terpaksa berdiam diri demi keselamatan dua anak mereka yang kini sudah berusia empat dan satu tahun.

Difahamkan, anak-anaknya juga didera secara mental dan fizikal termasuk wajah dicalit dengan najis.

Tidak sanggup melihat zuriatnya hidup dalam ketakutan, Aruem bertindak memfailkan perceraian terhadap lelaki itu pada Disember tahun lalu.

Lee Beom-soo, Lee Yoon-jin

RAMAI terkejut dengan berita perceraian pelakon Lee Beom-soo dan Lee Yoon-jin pada Mac lalu selepas hampir 14 tahun hidup bersama.

Ini kerana pasangan itu sentiasa nampak romantis, lebih-lebih lagi dalam program realiti The Returns Of Superman pada 2013 yang memaparkan rutin hidup selebriti.

Menurut Yoon-Jin, Beom-soo menjalani dua kehidupan berbeza selain mempunyai beberapa masalah dalaman yang tidak boleh didedahkan.

Dia turut mendakwa menjadi mangsa penderaan mental ibu mentuanya yang cuba menyembunyikan keberadaan Beom-soo.

Hwang Jung-eum, Lee Young-don

PASANGAN yang disayangi ramai iaitu Hwang Jung-eum dan Lee Young-don mendirikan rumah tangga pada 2016.

Bagaimanapun, selepas lapan tahun hidup bersama, Jung-eum memilih untuk berpisah selepas suaminya masih bermain kayu tiga.

Terdahulu, Jung-eum pernah memfailkan cerai terhadap Young-don yang juga bekas pemain golf profesional pada September 2020 tetapi menarik balik permohonan itu dan kembali berbaik.

Yoo Min-soo

PENYANYI Yoo Min-soo dan isteri, Kim Min-ji memilih untuk membawa haluan masing-masing pada Mei lalu setelah hampir 18 tahun mendirikan rumah tangga.

Menurut Min-ji, dia dan suami sudah cuba sehabis baik mempertahankan hubungan mereka namun gagal.

Meskipun sudah bercerai, mereka tetap berusaha menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa dengan baik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok