‘Beri kami ruang’ – Pelakon terkejut bapa mati terjun tingkat 6

MASIH terkejut bapa meninggal dunia selepas jatuh dari tingkat enam pangsapurinya semalam, pelakon Bollywood Malaika Arora meminta orang ramai memberikan keluarga mereka ruang untuk menenangkan diri.

Malaika, 50, berkata, kejadian tragis itu menghancurkan hati mereka sekeluarga yang tidak menjangka kehilangan insan tersayang, Anil Kuldip Mehta dalam keadaan sebegitu.

“Kami sangat hiba dan ingin memaklumkan ayah kesayangan kami Anil Kuldip Mehta sudah meninggal dunia.

“Beliau adalah insan berjiwa lembut, datuk yang disanjungi, suami penyayang dan kawan baik kami. Seisi keluarga masih terkejut.

“Kami meminta semua pihak memberikan kami ruang sepanjang tempoh berkabung ini,” katanya menerusi kenyataan media.

Difahamkan kejadian berlaku pada pukul 9 pagi di bangunan pangsapuri mendiang di Mumbai apabila ditemui cedera parah serta sudah tidak bernyawa.

Polis yang mendapat maklumat daripada saksi menyatakan mendiang dipercayai terjun dari balkoni kediamannya di aras enam.

Malaika yang ketika itu dalam perjalanan ke Pune bagi menghadiri sebuah majlis berpatah balik ke rumah yang diduduki bapa serta ibu tirinya sebaik dimaklumkan berita tersebut.

Sebelum Malaika tiba, bekas suami aktres Bollywood itu, Arbaaz Khan lebih dahulu tiba di tempat kejadian yang ketika itu sudah dipenuhi orang ramai.

Biarpun polis mengaitkan kematian Anil dengan tindakan bunuh diri, pihak berkaitan masih menyiasat punca sebenar sama ada insiden tersebut disebabkan kemalangan.

Menerusi keterangan beberapa pihak, lelaki berusia 65 tahun itu sudah lama menderita penyakit kronik dan dipercayai mengakibatkannya nekad mengakhiri nyawa sendiri.

Sementara sumber lain termasuk isteri mendiang pula menyatakan Anil terjatuh secara tidak sengaja, bukan bunuh diri seperti dihebohkan.

Sebelum itu Malaika dan adiknya, Amrita juga pelakon mendedahkan bapa mereka ada berhubung menerusi telefon menyatakan dirinya sudah penat yang merujuk
kepada kondisi kesihatannya.

Walaupun tidak tinggal sebumbung sejak ibu bapa bercerai ketika mereka masih kecil, Malaika dan Amrita kerap berhubung dengan Anil.

Mayat mendiang difahamkan masih berada di hospital untuk menjalani prosedur bedah siasat. –HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok