4 bintang K-pop lawan fitnah

SEJAK wujudnya media sosial, banyak spekulasi dan fitnah bertebaran sehingga menjejaskan kehidupan ramai selebriti.

Fitnah yang dilemparkan turut menjatuhkan reputasi mereka apabila menjadi perdebatan khalayak sehingga ada antaranya dibenci.

Dek kerana itu, ramai artis memilih mempertahankan diri dengan menggunakan saluran undang-undang.

Daebak kali ini menyenaraikan empat idola K-Pop yang nekad membersihkan nama dengan bertindak menyaman pemfitnah.

Lee Jae-wook

ENGGAN berkompromi, pelakon Lee Jae-wook melalui agensinya C-Jes Studios mengumumkan akan mengambil tindakan saman terhadap pihak yang mendesaknya memutuskan hubungan dengan penyanyi kumpulan Aespa, Karina.

Sejak menjalin hubungan cinta Disember tahun lalu, ramai peminat menentang hubungan Jae-woo dan Karina dengan meminta mereka berpisah.

Menurut aktor itu, hantaran yang dimuat naik kelompok itu menerusi media sosial adalah satu fitnah dan cubaan menyebarkan informasi tidak tepat serta melanggar hak peribadinya.

Malah, agensinya turut meminta peminat agar berkongsi sebarang hantaran berbentuk fitnah untuk dijadikan bahan bukti.

Jang Won-young

SPEKULASI penyanyi kumpulan IVE, Jang Won-young yang mendakwa dia disaman sebuah persatuan kumpulan wanita hangat tersebar.

Bahkan, akaun YouTube menggunakan nama Park turut mendakwa penyanyi itu menjalin hubungan terlarang dengan seorang selebriti lelaki.

Tidak berpeluk tubuh, Won-young, 20, dan pasukannya berjaya menjejaki individu di sebalik nama Park itu malah mengeluarkan saman fitnah secara berasingan.

Akhirnya, pencipta kandungan itu perlu membayar satu juta won (RM324,796) kepada Won-Young.

Jeon Jong-seo

 

MESKIPUN nama meledak selepas membintangi filem, populariti Jeon Jong-soo mula merudum apabila didakwa terlibat dengan kejadian buli di sekolah.

Kontroversi itu tercetus apabila ada komen dalam media sosial mendakwa Jong-seo selalu merampas dan mencuri pakaian pelajar lain di gim awal tahun ini.

Tidak berdiam diri, pihak agensinya, Andmarq mengeluarkan kenyataan tuduhan itu berunsur fitnah dan memberi tekanan emosi kepada pelakon yang turut dikenali sebagai Rachel Jun itu.

Malah, fitnah tersebut akan membahayakan kenalan terdekatnya.

Maka, mereka telah mengambil tindakan saman dan masih dalam proses mengumpul bahan bukti.

Nayeon

VOKALIS kumpulan Twice, Nayeon juga lantang mentang fitnah.

Sebelum ini, ibu kepada bekas kekasihnya telah membuat laporan polis menuntut bayaran balik pinjaman berjumlah 600 juta won (hampir RM2 juta).

Kata wanita itu, pemilik nama lengkap Im Na-yeon, 29, berkenaan telah menerima 535.9 juta won (RM22,287.77) daripada anaknya untuk membayar sewa rumah, yuran pengajian dan platform komunikasi.

Bengang dimalukan, Nayeon bertindak menyaman wanita itu dan mahkamah memutuskan kemenangan berpihak kepadanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok