Wajah Muaz Zabir disamakan nelayan, muka jual burger

BARU dua tahun hayat anak seni, suhu kepanasan si jejaka dengan nama pentas Muaz Zabir sudah bergelegak.

Daripada kurang dikenali, namanya mudah menjadi sebutan, bahkan auranya yang sekadar pendatang baharu entah dari mana mudah menangkap pandangan. Semuanya gara-gara terkait skandal cinta bersama pelakon, Bella Astillah yang ketika itu masih berstatus isteri orang.

Begitulah penangan sebuah kontroversi terhadap populariti seseorang.

Mahu tidak mahu, perumpamaan bad controversy still a good controversy terpakai buat kerjaya seni pemilik nama penuh Muaz Mohamad Zabir ketika ini.

Seperti bijak menggunakan situasi, Muaz kini antara bakat baharu yang berjaya meraih posisi utama dalam beberapa buah drama.

Jadi, tidak keterlaluan juga jika dilabel  antara pelakon yang laris berbanding bintang baharu lain yang masih bertatih mengintai peluang dalam industri.

Si empunyai diri penghias sampul muka depan Pose minggu ini mengakui, kagum malah terkejut dengan perkembangan kerjayanya dalam tempoh dua tahun ini.

“Tidak jangka perjalanan karier saya seperti ini. Macam roller-coaster! Ada masa okey, tetapi terdapat juga detik yang menggerunkan.

“Namun, alhamdulillah kehadiran saya dalam industri diterima baik meskipun terpalit kontroversi baru-baru ini, kita langgar sahaja!” katanya.

Tampan bergaya berbalut jaket putih rekaan Maisarah Hamsanni, soal mutu dan kualiti lakonannya terbutir di bibir.

Ternyata pelakon berusia 27 tahun itu masih dalam proses memperbaiki dan meningkatkan kemampuan agar mampu memberi persembahan lebih baik.

Muaz sedar tidak terlepas daripada menjadi mangsa kecaman netizen sehingga ada yang mendakwa, dia hanya ‘menjual’ muka bukannya bakat.

“Saya kena hadap bermacam-macam komen negatif. Ada yang menyamakan wajah saya seperti nelayan kampung dan muka jual burger.

“Saya terhibur baca semua komen sebab bukan jenis simpan dalam hati,” jelas bekas juara program Fit For Action terbitan TV3 itu.

Persaingan

Berjaya menakluk dunia lakonan bahkan beraksi sebagai hero beberapa drama, si tinggi lampai itu bersyukur dengan setiap rezeki.

Dia bagaimanapun enggan terlalu selesa dengan pencapaian hari ini, sebaliknya sentiasa mencari kelemahan diri untuk diperbaiki.

Bukan itu sahaja, lambakan bakat baharu hari ini juga menguatkan semangatnya untuk memberikan persembahan lebih bagus.

“Tipulah jika tak bimbang dengan tetapi saya sentiasa percaya dengan rezeki.

“Bersaing perlu ada tetapi secara sihat. Kalau pelakon lain mampu beri lakonan hebat, saya perlu usaha lebih untuk berikan hasil yang bagus juga.

“Janganlah bersaing secara kotor seperti tabur kata-kata negatif tentang mereka. Itu bukan cara saya,” ujarnya yang aktif menyertai kelas lakonan ketika ini.

Bukan kerja satu pihak, Muaz percaya pelakon gandingan dalam sesebuah naskhah juga sangat penting bagi mendapatkan lakonan terbaik.

“Jadi, tidak salah untuk selektif terima tawaran kerana kesannya adalah terhadap diri sendiri,” katanya.

Restu Bella Astillah

Mengajaknya kembali menelusuri kontroversi yang memanaskan nama, Muaz menganggap kisah dengan Bella sebagai asam garam dunia hiburan.

Orangnya masih muda, namun darah tenang berdepan semua kekacauan dek masalah pihak lain.

“Rimas? Ikut keadaan, kalau banyak cacian dan makian, memang rasa geram tetapi saya okey bila tengok ada komen positif.

“Nak elak pun tidak boleh sebab benda sudah jadi, hadap sahajalah,” ujarnya yang pernah bergandingan dengan Bella dalam drama Leha, Leya Lawa.

Belajar daripada kesilapan, katanya jangan sesekali sengaja melibatkan diri dalam sebuah kontroversi kerana perkara tersebut memberi impak besar terhadap kehidupan.

“Sebab kita bukan hidup seorang diri dalam dunia ini. Orang sekeliling turut terpalit termasuk keluarga. Pada hari pertama benda itu berlaku, ada sedikit anxiety tetapi atas nasihat banyak pihak, saya okey dan tak rasa sendirian.

“Saya tidaklah terkejut sebab percaya memang  perkara itu akan ‘berbunyi’ juga. Pengajarannya, jangan dengar sebelah pihak sahaja dan selidik sebelum menghukum seseorang,” ujarnya.

Sempat ditebak isi hatinya tentang hubungan bersama Bella yang direstui khalayak netizen usai tular video tarian bersama, pinta Muaz, hanya doa yang baik daripada semua pihak.

“Kalau suka, doakan yang baik-baik. Kami pun takut sebenarnya untuk lakukan konten (video menari) tersebut tetapi atas dasar kerja, kami turutkan.

“Ya, saya baca komen netizen. Alhamdulillah banyak komen baik tetapi terselit juga dakwaan yang tidak benar.

“Kalau ada jodoh, ada lah. Kalau dipertemukan kembali di tengah jalan, kami boleh kenal semula. Apa pun terima kasih kepada mereka yang mendoakan baik-baik untuk kami,” tuturnya tenang mengakhiri perbualan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok