Giliran TBA gegarkan Zepp KL

TRIO popular Indonesia, TBA yang dulu dikenali sebagai Coboy Junior dan CJR akan beraksi buat kali pertama di negara ini pada 29 November depan.

Penganjurnya, EVB Group berkata, band itu bakal diterbangkan ke Kuala Lumpur demi memenuhi permintaan peminat tempatan yang ingin menyaksikan persembahan mega mereka secara langsung.

“Ini merupakan penampilan julung kali TBA di Malaysia dan sudah pasti konsert ini dibawakan ekslusif bagi memenuhi keinginan peminat tegar mereka.

“TBA dijangka memanaskan pentas dengan deretan seleksi hit yang menjadi siulan peminat sejak mereka berada dalam industri muzik lebih sedekad lalu.

“Sudah pasti konsert itu nanti memenuhi impian ramai sekali gus menyuntik kepuasan kepada trio tersebut selepas sekian lama menunggu peluang bertemu peminat Malaysia,” katanya.

Konsert di Zepp KL yang disokong Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) itu juga bakal menampilkan persembahan UN1TY dan artis tempatan, Amir Hariz.

TBA asalnya dikenali sebagai Coboy Junior yang ditubuhkan pada 2011 sebelum ditukar kepada CJR tiga tahun kemudian.

Panggilan baharu TBA pula diilhamkan menerusi gabungan nama anggotanya iaitu Teuku Ryzki, Bastian Steel serta Alvaro Maldini.

Ampuh dengan genre pop, antara dendangan popular band tersebut adalah Kamu daripada album sulung selain Eeaaa dan Kenapa Mengapa.

Tiket untuk menonton konsert itu sudah mula dijual kepada umum sejak 1 Julai lalu di laman web evb.ubertickets.asia. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok