Tuhan baru uji sekali, takkan saya nak mengeluh – Ruhainies

Tidak pernah melatah dengan segala kontroversi yang berlaku, pelakon sensasi Ruhainies reda dan menerima segala dugaan dilaluinya ketika ini berlapang dada.

Meskipun pahit untuk ditelan, Ruhainies atau nama penuhnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas,31 berkata, dia tidak akan sesekali mengeluh dengan semua ujian daripada Tuhan.

Allah SWT sudah beri saya terlalu banyak rezeki, tawaran kerja, disayangi ramai, keluarga, kawan dan kesihatan yang baik selama 31 tahun ini.

“Tuhan beri ujian besar baru sekali, tak akan saya nak mengeluh. Saya terima dan reda serta bersyukur juga” katanya dalam InstaStory hari ini.

Ruhainies berkongsi perkara tersebut bagi menjawab pertanyaan seorang individu yang memintanya berkongsi tip  untuk kekal kuat apabila berdepan dengan ujian hidup.

Tambah bintang drama Cukup Derita Itu, setiap ujian yang diberikan Tuhan kepada mana-mana individu mempunyai sebab tersendiri.

Bukan sahaja tips, dia turut berkongsi potongan hadis berkaitan kekuatan diri setiap kali menghadapi sebarang kesulitan dalam hidup.

Dia uji sebab Dia sayang. ‘Fa inna ma’al usri yusra, inna ma’al usri yusra’.

“Dalam hadis ini juga disebut dua kali bahawa dalam setiap kesulitan pasti akan ada kemudahan.

Saya percaya tiada yang sia-sia serta akan ada rezeki besar Allah sudah aturkan. Tiada ribut yang kekal selama-lamanya,” ujarnya.

Sejak minggu lalu, namanya menjadi bahan bualan ramai apabila muncul di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan bagi prosiding bacaan pertuduhan tangkap khalwat dengan pelakon Aliff Aziz di sebuah kondominium di ibu negara pada 9 Mac lalu.

Dia dan Aliff bagaimanapun mengakui tidak bersalah atas pertuduhan tersebut sebelum mahkamah menetapkan 17 Oktober depan untuk prosiding seterusnya.

Paling menarik perhatian ramai apabila dia mengeluarkan kenyataan tidak pandai berlakon dan menitiskan air mata di hadapan kamera.

Perkara itu membuatkan ramai membuat spekulasi dia menyindir bekas isteri Aliff iaitu Bella Astillah yang beberapa kali menangis dalam temu bual bersama media. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok