Kolaborasi perdana Sheila Majid, Diskoria

DALAM kalangan peminat muzik disko, Diskoria bukan satu nama yang asing.

Jenama muzik mereka juga berjaya menembusi pasaran Malaysia menerusi beberapa lagu popular seperti Badai Telah Berlalu, Serenata Jiwa Lara dan C.H.R.I.S.Y.E.

Paling membuatkan ramai teruja, duo dianggotai Merdi Simanjuntak dan Fadli Aat itu bakal bikin peminatnya di Malaysia berdansa pada Konsert A Time Travel Diskoria di Zepp Kuala Lumpur, tanggal 14 Jun depan.

Menariknya, konsert tersebut menjadi projek kolaboratif sulung Diskoria dengan penyanyi ternama tanah air, Datuk Sheila Majid.

DUA popular dari Indonesia, Merdi Simanjuntak dan Fadli Aat yang dikenali sebagaia Diskoria tidak sabar untuk menghiburkan peminat muzik mereka di Kuala Lumpur.  –  FIRDAUS JOHARI

Berkongsi keterujaan, Merdi berkata, sejak debut pada 2015 dan melancarkan single pertama Balada Insan Muda, peminat Diskoria di Malaysia sentiasa memberi sambutan baik terhadap mereka.

“Jadi, untuk kunjungan ketiga, apabila dapat bekerjasama dengan Sheila, impian untuk sepentas dengannya bagai mimpi jadi kenyataan.

Kami sudah lama mahu bekerjasama dengan Sheila, namun tiada peluang. Jadi, apabila penganjur menawarkannya, memang tiada bantahan langsung malah sangat bersyukur,” katanya kepada HibGlam.

Ujarnya Sheila merupakan satu nama besar yang menjadi impian ramai untuk berduet, termasuk penyanyi dari Indonesia.

“Sheila amat dikagumi oleh pemuzik dan artis di Indonesia. Muziknya sangat dikagumi.

Ramai juga rakan artis yang tidak percaya malah cemburu apabila dia bersetuju untuk sepentas dengan kami,” katanya lagi.

Bercerita lanjut, Merdi bersyukur pencinta muzik di Malaysia menyambut baik muzik disko yang diperjuangkan mereka.

“Kami selalu ingin datang ke Malaysia. Sambutan peminat di sini sangat bagus.

“Kali ini, keseronokan berganda apabila dapat beraksi sepentas dengan Sheila. Pastinya akan ada elemen kejutan yang kami sediakan untuk peminat pada konsert nanti,” jelasnya.

Disko diminati

Ditanya tentang muzik pop disko yang diketengahkan, Merdi berkata, genre tersebut mempunyai kelompok peminat tersendiri.

“Setiap kali datang ke sini, respons yang kami terima sangat bagus. Kami tak sangka ramai yang meminati muzik disko.

“Pada awalnya kami sangka peminat muzik ini hanya dalam kalangan generasi berumur 30-an tetapi rupa-rupanya ramai generasi muda turut meminat.

Itu membuatkan kami teruja dan bersetuju untuk mengadakan konsert di Malaysia,” jelasnya.

Diskoria menjanjikan persembahan terbaik di Zepp Kuala Lumpur, kelak.

SHEILA MAJID bukan sahaja diminati peminat muzik balada dan jazz, bahkan pemuzik genre disko juga mahu berkolaborasi bersamanya di atas sebuah pentas.

Bertanya lanjut mengenai lagu-lagu Sheila yang akan dipersembahkan, Aat berkata, mereka akan berbincang lanjut dengan penyanyi yang popular dengan Sinaran itu.

“Kami hanya berbincang menerusi Google Meet dan akan aturkan pertemuan untuk latihan.

“Sheila pasti ada caranya sendiri, jadi kami akan bincang mengenai lagu yang akan kami sampaikan.

Jika Sheila dapat rentak kami pada konsert ini, mungkin boleh hasilkan lagu ‘mixed’ penuh bersamanya,” ujarnya lagi.

Menerusi konsert anjuran MY Deteksi, Sembang Kari Entertainment dan Tourism Malaysia tersebut nanti, Diskoria bakal menjanjikan persembahan terbaik selama 90 minit.

Pada acara konsert itu nanti, Diskoria yang membawa tema tahun 1980-an dan berharap peminat dapat memeriahkan suasana dengan berpakaian mengikut era tersebut.

Peminat juga boleh mendapatkan tiket menerusi www.myticket.asia yang dijual pada harga RM165 sehingga RM320.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok