Timang anak kedua, Mona Allen janji kongsi gambar

BERSYUKUR urusan bersalin anak kedua yang dilahirkan kelmarin dipermudahkan, pelakon Mona Allen teruja berkongsi khabar gembira itu.

Mona atau nama sebenar Muna Hafiraneza Allen, 39, memaklumkan dirinya serta bayi lelakinya dalam keadaan sihat sejahtera.

“Saya sudah selamat bersalin semalam (2 hari lepas) sewaktu maghrib.

“Sekarang saya tengah rehat, nanti saya kemas kini okey. Terima kasih semua, alhamdulillah semua baik-baik sahaja,” katanya menerusi Instagram.

Dalam masa sama, isteri kepada pelakon Pekin Ibrahim itu berjanji akan berkongsi gambar puteranya kelak.

“Insya-Allah saya akan kongsi gambar bayi kelak.

“Terima kasih semua yang mesej langsung (DM) doakan saya dan bayi. Maaf tidak dapat balas seorang demi seorang,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Mona mendedahkan sedang sarat hamil selepas ramai menegur perubahan fizikalnya yang agak berisi.

Mona sebelum ini dikurniakan rezeki menimang cahaya mata sulung bernama Petra Pekin pada 31 Ogos 2022 selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.

Sebelum ini pelbagai usaha termasuk ikhtiar rawatan perubatan Islam dilakukannya dengan suami atau pemilik nama sebenar Mohd. Iznan Ibrahim pada 2018. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok