PENYANYI Datuk Nora Ariffin mengakui masih terkejut dengan pemergian protegenya dalam program Mentor TV3, Nabil Zamanhuri yang selama ini tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda sakit.
Katanya, kali terakhir bertemu allahyarham adalah pada hari raya yang lalu ketika berkunjung ke kediaman keluarganya bahkan Nabil juga tampak sihat seperti biasa.
Kami ada berjumpa ketika hari raya Aidilfitri lalu, semuanya okey. Arwah tak ada apa-apa sakit pun. Dia nampak ceria macam selalu.
“Cuma pagi ini saya dimaklumkan Nabil pengsan di rumah dan isterinya cuba buat CPR (bantuan pernafasan kecemasan), tapi tak berjaya.
“Arwah disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang. Memang saya terkejut apabila mendapat berita arwah meninggal dunia,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menurut penghibur berusia 51 tahun itu, allahyarham bukan sahaja protege dan sepupu yang baik, malah penyanyi berbakat besar dan sentiasa merendah diri.
Tambahnya lagi, terlalu banyak memori sepanjang bergelar mentor kepada arwah yang disifatkan penuh semangat biarpun berdepan kritikan ketika menyertai program realiti itu sekitar 2005.
Nabil sangat kuat semangat dan yakin terhadap kemampuan diri dengan membuktikan dia dapat peluang masuk mentor atas bakat dimiliki.
“Akhirnya, berkat kesungguhan dia dapat bergelar naib juara. Memang saya berbangga dengannya,” katanya.
Difahamkan, jenazah akan dikebumikan selepas Asar di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang. – HIBGLAM