PELAKON dan penyanyi Bella Astillah meluahkan rasa lega selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan pembebasan tunangnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), hari ini.
Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 33, berkata, keputusan tersebut memberi ketenangan buat dirinya kerana sejak awal dia percaya Ahli Parlimen Muar itu tidak bersalah.
Bella sangat-sangat bahagia. Paling penting rasa lega, tenang dan bahagia sebab Bella tahu Saddiq seorang yang sangat baik.
“Bella tahu Saddiq tak bersalah,” katanya ketika ditemui media selepas keputusan pengekalan pembebasan tunangnya di Istana Kehakiman.
Mengulas sebab dia tetap setia berada di sisi Syed Saddiq sepanjang perbicaraan, Bella berkata, keperibadian lelaki itu menjadi faktor utama yang menambat hatinya.
“Bella nampak macam mana peribadi dia. Paling utama Bella nampak macam mana layanannya terhadap orang tua dan keluarga, itu paling penting.
Bella juga tengok dia seorang yang sangat jujur, baik dan amanah sepanjang perkenalan kami,” ujarnya. ‘Syed Saddiq sangat baik,
Bagaimanapun, Bella enggan mengulas lanjut mengenai perancangan majlis perkahwinan mereka dengan memaklumkan akan berkongsi lebih banyak perkembangan apabila tiba masa sesuai.
Selebihnya, insya-Allah nanti kita akan lebih lagi kongsikan bila dah sampai masa,” katanya.
Terdahulu, Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac 2026 dan difahamkan pasangan berkenaan dijangka bernikah Oktober ini. – HIBGLAM
