AKTIVIS yang juga pengarah teater prolifik, Rosminah Tahir menghembuskan nafas terakhir pada usia 65 tahun di kediamannya di Keramat, petang tadi.
Berita pemergian Allahyarham Rosminah disahkan sahabat baiknya yang juga penerbit teater, Siti Rohaya Attan.
Bagaimanapun, punca kematian bekas Ketua Jabatan Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA) itu belum dapat dipastikan.
Buat masa ini jenazah Allahyarham masih di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan keluarganya sedang menunggu perkembangan lanjut,” kata Rohayah ketika dihubungi HibGlam.
Difahamkan Allahyarham yang cukup dihormati dalam dunia pementasan baru meraikan ulang tahun kelahiran ke-65 pada 13 Mei lalu.
Antara naskhah sentuhannya yang meraih sambutan hangat adalah teater Anugerah pada 1996 disusuli Lantai T Pinkie (1997) serta Malam Haram.
Antara pementasan berskala mega lain direalisasikan Allahyarham adalah Di Bawah Lindungan Kaabah; Muzikal Tun Mahathir, Muzikal Lantai T Pinkie, Muzikal Ibu Zain, Nyonya, Li Po serta Mak Dara Nyonya.
Jenazah Allahyarham Rosminah dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di Muar, Johor untuk dikebumikan.
Terdahulu berita pemergian Allahyarham dikongsi beberapa rakan seperjuangan termasuk Datuk Fauziah Nawi dan Zulkifli Ismail yang memuat naik hantaran menerusi Facebook – HIBGLAM