MENGANGKAT kisah bayi yang dilahirkan di sebalik tirai besi, penerbit juga pengarah popular,Ahmad Idham Ahmad Nadzri menyifatkan kepercayaan diberi Metro Productions mengarahkan drama Gari Jadi Saksi sebagai peluang keemasan.
Lebih lima tahun tidak menghasilkan drama televisyen, sutradara berpengalaman itu ibarat sirih pulang ke gagang apabila awal duduk di kerusi pengarah dalam sebuah naskhah drama berkisar banduan.
Dari satu sisi lain, penggiat seni berusia 50 tahun itu berbesar hati dapat mengangkat kisah masyarakat bersandarkan cerita benar dan mampu menyuntik pengajaran buat semua.
Ahmad Idham berkata, idea telefilem tersebut diajukan syarikat penerbitan, namun selaku pengarah, beliau membuat penambahbaikan bagi mencantikkan jalan cerita.
Gari Jadi Saksi diilhamkan daripada kisah benar. Bagi memastikan semua fakta betul, saya dapatkan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia.
“Secara kebetulan, saya memang rapat dengan jabatan berkenaan, jadi kerja praproduksi lebih mudah dalam mestikan maklumat tepat terutama mengenai pengurusan banduan.
Ketika awal terbabit dengan dunia pengarah dulu pun sudah beberapa naskhah berkaitan penjara dan banduan saya hasilkan, kiranya kembali dengan karya lalu,” katanya ketika ditemui di Yayasan Koreksional Malaysia, baru-baru ini.
Bakal menjalani penggambaran bulan ini, telefilem yang akan ditayangkan di RTM itu berkisar banduan wanita yang melahirkan anak dalam penjara.
Namun mereka terpaksa melepaskan bayi kepada orang lain untuk dijaga berikutan beberapa sebab yang tidak boleh dielakkan terutama ketiadaan waris terdekat.
Begitupun, buat masa ini dia yang baharu tampil dengan filem Anak Perjanjian Syaitan 2 belum boleh mengumumkan senarai pelakon.
Mengakui beberapa nama berada dalam perhatian terutama karakter utama, semuanya akan diumumkan dalam masa terdekat.
Watak banduan wanita ini memang mencabar. Kami tonjolkan dalam era berbeza iaitu ketika muda dan selepas disumbat ke dalam penjara ketika hamil.
“Karakter ini perlu bermain emosi yang sudah tentu sarat babak air mata.
“Paling pasti peranan ini membabitkan dua pelakon, seorang muda dan satu lagi bintang senior,” ujarnya.
Masih menantikan kelulusan RTM bagi senarai pelakon, Ahmad Idham juga berterima kasih kepada stesen penyiaran kerajaan tersebut kerana meluluskan kisah dalam penjara untuk dipaparkan.
“Sudah lama saya tak buat kisah mengenai penjara, kali terakhir filem 8 Jam lakonan Shaheizy Sam sampai ramai tanya kenapa tak buat drama mengenai penjara.
Apabila RTM sudah luluskan, itu bagi saya ruang berkarya mengenai penjara selain cuba bantu ‘merakyatkan’ penjara kerana bukan macam dahulu penjara sebagai tempat jalani hukuman.
“Sekarang penjara jadi tempat pemulihan, malah sudah ramai banduan memiliki ‘ijazah’ dan kembali ke pangkuan masyarakat sebagai insan bersih,” katanya. – HIBGLAM