PENYANYI Nabila Razali bersyukur kehadirannya di kampung keluarga suami di Kelantan diterima baik sehingga saudara mara serta penduduk tempatan memberi gelaran Mek Nab kepadanya.
Katanya, penerimaan serta kemesraan orang kampung secara tidak langsung memadamkan kerisauan meraikan Syawal buat pertama kali berjauhan daripada keluarga.
“Bila sampai sahaja di sana (Kelantan) terus dapat panggilan Mek Nab. Orang-orang di Kelantan peramah dan sambutan raya juga sangat meriah.
“Pada mulanya, saya berdebar juga masuk ke tempat orang. Selalunya pergi Kelantan untuk bercuti dan ‘food hunting’ tetapi kali ini beraya serta bertemu saudara jauh sebelah suami.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerisauan sebelum ini sudah berkurangan. Bukan apa, ini pertama kali beraya berjauhan daripada keluarga,” katanya menerusi perkongsian TikTok.
Dalam masa sama, pemilik nama lengkap Nur Nabila Mohd. Razali, 31, itu memaklumkan suaminya, Nik Iruwan Nik Izani banyak membantu memudahkan urusan sepanjang berada di sana.
“Suami minta saya jadi diri sendiri. Apabila masuk tempat orang, kita kena pandai bawa diri.
“Dia (suami) juga banyak ajar tentang apa yang boleh buat dan tidak boleh lakukan di Kelantan. Alhamdulillah, orang di sana sangat baik.
“Saya juga bersyukur sambutan raya tahun ini semuanya dipermudahkan,” ujarnya lagi.
Minggu lalu, pelantun lagu Pematah Hati itu dipuji tidak kekok walaupun pertama kali beraya dan melayan tetamu di Bachok, Kelantan.
Sebelum ini, Nabila meluahkan rasa berdebar tatkala berkongsi perasaan mahu pulang berhari raya di kampung halaman suami tercinta, Nik Iruwan Nik Izani.
Nabila dan ahli perniagaan berusia 39 itu mendirikan rumah tangga pada 18 November tahun lalu. – HIBGLAM