Raikan kepelbagaian, lagu raya tak salah ikut trend – S. Atan

DIGELAR ‘Bapa Lagu Raya’ berikutan populariti karya ciptaannya, komposer legenda Datuk S. Atan menganggap kebanjiran dendangan khas bersempena Syawal sebagai petanda positif dalam industri muzik tanah air.

S. Atan atau nama lengkapnya Hashim Said, 75, berkata, melodi unik bukan perosak, sebaliknya setiap naskhah yang dihasilkan penggubah muda menonjolkan rencah berbeza sekali gus menjadi halwa telinga yang melekat di hati pendengar.

“Selain lagu raya malar segar, saya juga dengar banyak seleksi baharu ciptaan komposer pelapis sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang disuntik pelbagai elemen termasuk rap.

Bagi saya tak salah ikut trend kerana dunia muzik semakin berkembang, begitu juga dengan penghasilan lagu raya yang kini kedengaran lebih ‘catchy’. Semua okey asalkan tidak menampilkan lirik bukan-bukan.

“Kita raikan kelainan, bahkan saya tak kisah kalau ada penyanyi mahukan saya hasilkan lagu raya ikut trend semasa, cuma tak mampulah saya selitkan rap,” katanya ketika pelancaran Bazaria Aidilfitri anjuran Rofar Vista dan Laga Emas Entertainment, baru-baru ini.

Acara yang diadakan di tapak bazar di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) itu juga serentak dengan majlis kesyukuran pencipta lagu Menjelang Hari Raya nyanyian Datuk DJ Dave itu mengerjakan umrah kali kelima.

Katanya, dia ditemani isteri, Datin Norizan Yeob selain bakal menyambut 1 Syawal di Tanah Suci buat pertama kali.

“Saya bersyukur berpeluang umrah dan seterusnya menyambut Aidilfitri di Mekah yang merupakan pengalaman pertama berpuasa dan rasai pengalaman beraya di Mekah.

“Sebenarnya saya dan isteri tiada rancangan ke sana kerana kami tiada duit, tapi tak sangka bekas penyanyi, Datin Seri Rina Rahman menaja. Kami pergi haji pun atas usahanya.

“Walaupun jarang berjumpa, dia tetap ingat. Mungkin hadiah ini diberi sebab suatu masa dulu saya kerap belanja dia makan ketika mula-mula masuk industri seni,” ujarnya yang berlepas ke Jeddah pada 3 April lalu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Rofar Vista, Datuk Mudzafar Kamarudin, berkata, pihaknya meraikan S. Atan sebagai menghargai jasanya memartabatkan industri muzik termasuk menghasilkan seleksi raya yang menjadi siulan ramai sehingga ke hari ini.

Lebih separuh lagu-lagu lebaran yang didengari hari ini adalah sentuhan S. Atan sendiri termasuk nyanyian Datuk Sudirman, Balik Kampung, Indah Beraya Di Desa (Azlina Aziz), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Salam Aidilfitri (Jamal Abdillah) dan Mulia (Datuk Sheila Majid).

“Apabila melancarkan bazar ini, saya terus teringatkan S. Atan yang ketika itu bakal menunaikan umrah selain turut mengundang artis lain termasuk Hairee Kool, Riot Kool, Rahmad Mega, Chef Yang Jamil dan Sophia Ibrahim.

“Walaupun baru kenal, kami sudah seperti sahabat lama sebab S. Atan antara pelanggan tetap Bazaria Aidilfitri yang disertai lebih 50 peniaga ini. Mungkin sebab di sini turut menampilkan persembahan nyanyian bertema lagu raya,” ujarnya.

Terdahulu, ada dalam kalangan pendengar mendakwa lagu raya masa kini sesetengahnya dihasilkan secara tangkap muat hingga merosakkan keindahan mesej kemenangan Syawal yang perlu disampaikan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok