SIAPA sangka episod patah hati yang dicurahkan dalam medium seni membawa penulis, pemuzik dan pempengaruh media sosial Indonesia, Fiersa Besari menembusi pasaran komersial.
Segala isi hati bukan hanya diluahkan dalam bentuk tulisan dan buku, malah emosi galaunya dicerna melalui muzik bersandarkan pengalaman serta perjalanan hidupnya.
Bersandarkan semua pengalaman dan penerimaan khalayak, lelaki yang mesra disapa Bung itu menjadi dambaan ramai setiap kali beraksi di mana-mana pentas.
Muzik dan penulisannya juga inspirasi kepada anak muda.
Karya cinta, kemanusiaan
Kepelbagaian nukilannya, termasuk nuansa cinta, kemanusiaan dan sosial meletakkan sentuhan anak jati Bandung itu di tempat istimewa dalam kalangan penggemarnya.
Keampuhan karya muzik juga membawa Fiersa beraksi julung kali di Kuala Lumpur, tahun lalu, sekali gus menanam kerinduan berat peminat.
Tidak terhenti di situ, Fiersa sekali menabur janji untuk kembali ke Malaysia pada 23 Ogos depan.
Dibawakan Seraya Group, Fiersa menyifatkan kemunculan dalam rangka konsert Berjalan Mundur By Fiersa Besari Live In Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur nanti sebagai titik tolak melunaskan kerinduan peminat.
Kembali ke Kuala Lumpur dan dapat berdiri di hadapan peminat adalah penghargaan terbesar buat saya.
“Sokongan tidak berbelah bahagi dan keterujaan peminat di Malaysia memberikan inspirasi untuk saya mempamerkan persembahan yang tidak mungkin dilupakan,” katanya.
Ditemani gitar akustik dan lontaran vokal yang sarat jiwa melankolis, Fiersa bakal membuai penonton dengan 18 lagu popular menerusi keunikan gabungan muzik pop indie, folk dan alternatif yang membentuk identiti nyanyiannya.
Pastinya himpunan lagu yang pernah mendaki carta popular seperti April, Waktu Yang Salah dan Celengan Rindu bakal melarutkan emosi peminat dalam keindahan karya melankolianya.
Sementara itu, Ketua Pemasaran Seraya Group, Intan Dhenisya Putri berkata, konsert tersebut menjadi titik permulaan bermakna buat penyanyi itu dalam meraikan 14 tahun kelana muziknya.
Kali terakhir Fiersa beraksi ialah dalam konsert solo pada 2020 di Jakarta dan kemunculan album terbaharu, Berjalan Mundur yang dilancarkan pada November lalu juga telah meletakkan Kuala Lumpur sebagai destinasi persinggahan.
Tiket menyaksikan persembahan Fiersa dijual pada harga RM159 (Runtuh), RM198 (Garis Terdepan), RM301 (Juara Kedua) dan RM3,403 (Rumah – VVIP Box untuk 8 orang) boleh diperoleh menerusi ticket2u.com.my bermula 2 Julai.