SELEPAS ramalan pemenang Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) sekali lagi tepat, selebriti Neelofa diminta menjadi ahli nujum.
Perkara tersebut dimaklumkan sendiri pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd. Noor yang menerima kiriman mesej (DM) daripada seseorang memintanya meramalkan tahun perkahwinan individu tersebut.
“Kak Neelofa, tolong ramal bila saya kahwin,” tanya individu yang dipercayai adalah seorang wanita.
Dalam masa sama, pengacara program bual bicara, Next To Neelofa itu berseloroh supaya netizen tidak meminta pelbagai permintaan pelik.
“Jangan macam-macam korang (kalian),” katanya.
Sebelum ini, ibu kepada dua orang cahaya mata itu meramalkan lagu Hasrat nyanyian dan ciptaan Amir Jahari sebagai juara AJL38.
Neelofa memilih lagu runut bunyi filem Imaginur itu sebagai juara kerana sangat menyukai naskhah terbabit.
Hasrat mengenepikan pencabar terdekat Sutera dendangan Aisha Retno sebagai naib juara serta Jangan Mati Rasa Itu daripada Aina Abdul. – HIBGLAM