SELEBRITI versatil Raja Azura mendedahkan terbuka untuk berkongsi ilmu berkaitan dunia pengacaraan kepada mana-mana individu yang mahu mendalami bidang itu daripadanya.
Raja Azura, 53, bagaimana memberitahu sehingga kini tiada yang bertemunya terutama pengacara generasi baharu untuk mengutip ilmu dan tip mengenai cara mengendalikan sesebuah acara.
“Cari saya? Mereka mungkin tidak berani nak jumpa saya sama ada di sebarang acara pun.
Kalau nak jumpa dan bertegur sapa di mana-mana acara, saya okey dan tiada masalah untuk mereka dapatkan ilmu.
“Saya bukan jenis kedekut ilmu,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Katanya, dia tidak mempuyai masalah untuk berkongsi segala pengalaman yang dimiliki kerana berasakan semua itu perlu diturunkan kepada pelapis baharu.
“Hakikatnya, saya pun akan tinggalkan dunia ini dan akan bagi ilmu tersebut, kalau ada yang inginkan, ambillah.
“Tiada niat pun nak meletakkan sebarang harga atau kenakan pembayaran.
Kalau rasa nak ilmu ini, bertanya dan saya boleh bagi saja. Insya-Allah tiada masalah, datang dan jumpa dengan saya,” katanya lagi.
Bakal kembali mengacara Kilauan Emas Selebriti tidak lama lagi, dia bersyukur masih lagi relevan dan diberikan peluang untuk mengemudi sebuah program yang sudah ditinggalkan selama 11 tahun lalu.
“Saya bersyukur, ini semua rezeki, rezeki anak-anak. Saya rasa masih lagi relevan kerana selalu ikhlas, merendah diri dan menjaga kualiti dalam setiap perkara yang dilakukan.
“Meskipun jumlah pengikut saya dalam media sosial tidaklah ramai tetapi mungkin kualiti itu yang dipandang. Insya-Allah saya akan menjaganya,” ujarnya. – HIBGLAM
