‘Mak saya hebat, bapa tiri menakjubkan sanggup galas tanggungjawab’

PENYANYI Shila Amzah bersyukur kehadiran bapa tirinya, Brigadier Jeneral Zainal Abidin Muhammad Salleh dalam keluarganya hari ini menjadi datuk terbaik kepada dua anaknya, Seth Uwais dan Rhea Akira.

Menurut Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 37, ibunya, Fauziah Sarman dan bapa tirinya membuatkan keluarga mereka berasa lengkap meski tanpa kehadiran datuk kandung iaitu bapanya yang juga penyanyi, ND Lala.

“Mak saya hebat dan ayah tiri pula sangat menakjubkan itu sahaja apa yang saya boleh katakan.

“Buat masa ini mereka adalah satu-satunya susuk datuk nenek untuk Seth dan Rhea,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di Majlis Muzik Lab: Hab Kreatif Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) di McDonald’s Pantai Sentral Park, Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, dia mengakui Seth dan Rhea beruntung menjadi cucu kepada Fauziah dan Zainal Abidin.

“Anak-anak saya sangat bertuah memiliki datuk tiri yang sanggup menggalas tanggungjawab itu (sebagai datuk).

“Kediaman mereka cuma 10 minit sahaja daripada rumah kami.

“Mak dan bapa tiri saya sedang menjadi ibu bapa untuk saya serta Ubai, dia pun sudah tiada mak.

“Jadi, sekarang ini kami sedang mencipta rumah yang kami mahu pulang, begitulah,” ujarnya.

Terdahulu, Fauziah sah bercerai dengan ND Lala pada Ogos 2023 selepas 34 tahun mendirikan rumah tangga.

Fauziah kembali sah bergelar isteri kepada Zainal Abidin pada 21 November tahun lalu selepas sebulan berkenalan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok