DUA puluh tahun merokok, penyanyi Tom akhirnya akur menghentikan tabiat buruk tersebut akibat berdepan masalah alahan teruk sepanjang kehamilannya kali ini.
Menyifatkan kehamilan anak keempat ini paling teruk dirasai sepanjang hidupnya, Tom bagaimanapun bersyukur mampu menahan diri daripada tabiat memudaratkan kesihatan tersebut dek tahan loya terhadap bau asap.
“Meskipun alahan kali ini sangat teruk tetapi saya gembira kerana dapat berhenti merokok yang merupakan tabiat buruk.
“Saya hisap rokok sejak berumur 16 tahun dan akhirnya kini saya sudah seminggu tidak sentuh langsung.
“Alahan kali ini buat saya tidak boleh bau asap rokok,” katanya menerusi perkongsian dalam status Instagram, semalam.
Justeru, Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram, 37, berharap mampu menghentikan tabiat tersebut selama-lamanya.
“Harap selepas ini insya-Allah tidak mahu sentuh rokok lagi dan kalau boleh sampai bila-bila,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, Tom pernah mengalami keguguran semasa usia kandungan mencecah tiga minggu.
Situasi duka yang dilalui Tom tidak berpanjangan apabila suaminya, Fuad Rahman yang juga penyanyi mendedahkan isterinya itu kembali hamil.
Pasangan selebriti itu mendirikan rumah tangga dalam sebuah majlis tertutup pada 26 Februari lalu di Batam, Indonesia.
Menerusi dua perkahwinan terdahulu, Tom dikurniakan tiga cahaya mata berusia antara lapan hingga 15 tahun. – HIBGLAM