Cucu Krisdayanti dapat hadiah MPV mewah

BUKAN hadiah biasa-biasa apabila pasangan pempengaruh, Atta Halilintar dan Aurel Hermansyah memberikan anak sulung mereka, Ameena Hanna Nur Atta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sempena ulang tahun kedua kanak-kanak itu pada 22 Februari lalu.

Menurut Atta atau Muhammad Attamimi Halilintar, 29, kereta buatan Korea Selatan itu dapat dimanfaatkan puteri kesayangan mereka sebagai pelaburan jangka panjang bermula dengan kegunaan ke sekolah sehingga dewasa.

Ini pun permintaan mamanya (Aurel) kerana dia bekerja dan saya juga bekerja. Jadi anak-anak perlukan kereta sebesar ini disebabkan sudah mula bersekolah.

“Mamanya sudah mendaftarkan Ameena ke sekolah, inilah hadiah untuknya.

“Alhamdulillah, nanti 20 tahun ke hadapan tak perlu beli lagi keperluan untuk dia ke sekolah sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui media.

Kenderaan warna hitam yang dianggarkan mencecah harga RM300,000 itu ditunjukkan kepada si kecil serta tetamu yang hadir pada sambutan hari jadi tersebut.

Antara yang memeriahkan majlis adalah ibu bapa Aurel iaitu penyanyi Krisdayanti serta Anang Hermansyah bersama pasangan masing-masing.

Mereka juga turut berkongsi momen menggembirakan itu dalam laman sosial terutama ketika MPV berhias riben merah jambu diperlihatkan kepada jemputan.

Sebelum itu Aurel mengatakan dekorasi ulang tahun adalah hadiah daripada  Krisdayanti dan bapa tirinya, Raul Lemos, manakala kek pula dibawa ayahnya, Anang bersama Ashanty.

Pada masa sama, pasangan terbabit dilihat turut mengajak Ameena menaiki kenderaan baharu tersebut.

Selain Ameena, Aurel dan Atta yang mendirikan rumah tangga pada 3 April 2021 turut mempunyai seorang lagi puteri yang berusia dua bulan, Azura Humaira Nur Atta. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok