PENGHIBUR kesayangan negara Datuk Siti Nurhaliza sentiasa menjadi dambaan sehingga tiket konsertnya, Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza habis terjual dalam tempoh dua jam kaunter maya dibuka.
Tidak berpeluang mengikuti persembahan mega yang dijadualkan berlangsung pada 9 Mac depan turut membuatkan ramai pengikut tegarnya meluahkan rasa kecewa.
Bahkan, sekali lagi Siti mencipta magis apabila 5,000 tempat duduk di The Star Theatre, Singapura yang menjadi lokasi bagi konsert Fenomena Live in Singapore pada 29 Jun depan juga licin disambar kurang dalam tempoh 2 jam.
Selain Siti, banyak lagi persembahan mega artis tempatan dan seberang yang diadakan di negara ini meraih sambutan luar biasa sehingga ada penganjur menambahkan hari persembahan.
Tolak tepi konsert artis antarabangsa terutama daripada Hollywood yang sentiasa menjadi buruan peminat seni muzik negara ini, Gala minggu ini merangkumkan konsert penghibur Nusantara yang ‘licin’ seperti pisang goreng panas.
Wings
KUMPULAN rock otai Wings mencatat sejarah peribadi apabila tiket konsert yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 16 Julai lalu licin dijual dalam tempoh lima minit.
Difahamkan ramai peminat yang setia menunggu di depan komputer riba masing-masing berputih mata tidak dapat mengikuti aksi band kesayangan di gelanggang gah tersebut.
Apatah lagi, sebelum itu mereka juga ‘berperang’ secara maya bagi merebut salah satu tiket daripada hampir 1,000 tempat duduk dalam dewan yang menjadi saksi pertunjukkan istimewa bersama orkestra.
Dalam sesi ‘battle’ untuk konsert malam pertama, semua tiket disambar dalam tempoh 15 minit sebaik kaunter dibuka pada pukul 10 pagi.
Ella
KREDIBILITI ratu rock mega, Ella terserlah apabila konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota 2.0 di Axiata Arena, Bukit Jalil habis ditempah peminat tegarnya dalam tempoh tidak sampai 24 jam tiket dijual.
Sebanyak 20,000 tiket untuk dua kali kemunculan pada Jun 2023 merupakan petunjuk kegilaan ramai terhadap penyanyi bervokal serak-serak basah itu.
Konsert Ella, 57, itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) sebagai persembahan penyanyi tempatan pertama yang tiket habis terjual dalam tempoh 24 jam.
Sebelum ini, dia pernah meraih sijil MBR selepas membuat persembahan diiringi 200 orang pemuzik pada 2019, sekali gus meleburkan rekod sendiri yang dicipta tiga tahun sebelum itu.
Afgan
BIAR berulang kali mengadakan persembahan mega di pelbagai lokasi di Kuala Lumpur, tidak dapat dinafikan Afgan merupakan penyanyi Indonesia paling laris di negara ini.
Fenomena yang dibawakan pelantun lagu Terima Kasih Cinta itu tidak pernah surut biarpun ramai penghibur datang dan pergi sehingga boleh dikatakan hampir saban tahun dia beraksi di sini.
Konsert Afgan Live In Concert With Orchestra di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Disember lalu menjadi bukti kegilaan ramai terhadap figura berusia 34 tahun itu.
Biarpun tiket paling mahal mencecah RM1,600, tempat duduk paling strategik itu licin lebih awal bahkan semua tempat duduk sold out.
Melly Goeslaw
PENGARUH penyanyi dan komposer seberang, Melly Goeslaw di Malaysia sangat ampuh terutama sejak fenomena filem Apa Ada Dengan Cinta terbitan tahun 2002.
Kehadiran penghibur itu untuk konsert yang berlangsung pada 3 Januari tahun lalu menghimpunkan sekitar 2,800 penonton dengan rata-rata memakai uniform sekolah mengikut tema.
Sebelum itu, laman sosial kecoh dengan luahan pengikut tegar ratu soundtrack terbabit apabila hanya dalam masa sejam sahaja semua tempat duduk di lokasi konsert sudah ‘bertuan’.
Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang dipilih sebagai gelanggang aksi Melly turut dihadiri selebriti Indonesia seperti Datuk Rossa, Mayangsari, Raffi Ahmad, Nagita Salvina, Lis Dahlia, Yuni Shara dan Tissa Biani.