[VIDEO] Graduasi sekolah di hotel tak masuk akal – Adrea Abdullah

TIDAK menyokong trend sekolah mengadakan hari graduasi di hotel, pelakon Adrea Abdullah menyelar keputusan pihak berkaitan sebagai tidak masuk akal kerana tidak memikirkan tahap kemampuan ibu bapa.

Kata pemilik nama sebenar Nik Adrea Nik Abdullah, 46, kos merealisasikan majlis di lokasi seperti itu dianggarkan antara RM150 hingga RM200 yang tentu sahaja membebankan dalam keadaan ekonomi sekarang.

“Kalau RM15 atau RM20 boleh terima lagi tapi RM150 hingga RM200 untuk pelajar saja, ibu atau bapa nak datang kena tambah lagi RM150. Kalau dua-dua, tambah lagi RM150.

Jadi kalau anak RM200, ibu bapa RM300, jumlahnya jadi RM500. Takkan bayar untuk anak saja, keluarga tak datang, nanti apa pula orang kata.

“Kenapa bapa tak datang? Kenapa mak tak datang? Kasihan budak ini,” katanya menerusi perkongsian dalam platform TikTok.

Menurut Adrea, pemilihan lokasi mewah untuk meraikan pelajar seolah-olah mahu menunjukkan taraf sesebuah sekolah.

Adrea juga berharap pengetua mempertimbangkan segala aspek sebelum membuat keputusan yang membebankan ibu bapa.

“Kena fikirlah bukan semua ibu bapa mampu dan tidak semuanya kerja bagus. Kedua, ibu bapa mungkin ada ramai anak dan komitmen banyak. Mana boleh nak keluar duit macam itu saja.

Kalau ada lima anak macam mana? Nak keluarkan RM2,500 untuk hari graduasi setiap tahun? Itu tak masuk akal. Bagi saya, itu seolah-olah menganiaya ibu bapa. Peras ugut emosi, kalau mereka tak bayar kasihan anak-anak.

“Malah, siap ada kumpulan WhatsApp dan di situ disertakan maklumat lengkap. Bukankah ibu bapa yang tak mampu bayar akan rasa tertekan?” tegasnya.

Pandangan yang disuarakan pelakon drama Elly & Epit itu meraih sokongan orang ramai yang rata-rata mengakui berasa terbeban dengan trend terbabit.

Isu sekolah menganjurkan majlis graduasi untuk pelajar di tempat mewah yang mencecah kos tidak masuk akal mencetuskan rasa tidak puas hati ramai ibu bapa dan penjaga.

Situasi itu bukan sekadar memberi impak terhadap keluarga, malah meninggalkan kesan emosi tidak baik buat pelajar.  –  HIBGLAM

@adreaabdul Tak masuk akal! Seriously tidak adil! Korang setuju atau tidak untuk sekolah rendah & menengah adakan graduation lunch or dinner di hotel 4,5 star dan kenekan bayaran 150-200 setiap pelajar! Gile lah! #kementerianpendidikanmalaysia #trending #tren #celotehadrea #karut #takmasukakal #tidakadil ♬ original sound – Adrea Abdul

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok