Misteri Roh Pulau Penunggu, tawar hadiah menarik buat penonton

MISTERI ROH PULAU PENUNGGU, tajuknya sahaja sudah mempamerkan elemen seram telefilem ini bahkan mampu membuat bulu roma berdiri meskipun hanya melihat trailer dan poster.

Telefilem yang disiarkan di Astro First sejak 2 November lalu membawa naskhah sarat pengajaran dan plot twist yang boleh dikatakan menjangkau standard kebiasaan telefilem bergenre sedemikian.

Bukan sahaja menyajikan elemen seram semaksima mungkin, Misteri Roh Pulau Penunggu juga menawarkan hadiah menarik buat penonton yang melanggan naskhah tersebut.

Menurut penerbit bersama, Datuk Rosli Bujang, penonton bukan sahaja dibawa hanyut dalam liang liuk alur cerita namun berpeluang memenangi cabutan bertuah seperti kepingan emas hampir 1 gram.

Menariknya lagi, setiap langganan untuk naskhah tersebut juga akan disumbangkan kepada Tabung Amanah Anak Palestin Yayasan Nurjiwa.

“Menonton sambil menderma dan menang ganjaran menarik yang ditawarkan kepada penonton bertuah adalah sumbangan dari Fingold, Bateriku.com, JW Marriot dan banyak lagi.

“Kami sasarkan lebih RM300,000 dan sebahagian akan disumbangkan kepada Yayasan Nurjiwa yang dikendalikan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, “ ujarnya.

Tambah Rosli lagi, pihaknya akan mengadakan cabutan bertuah setiap tiga hari sekali bermula 7 November untuk penonton yang melanggan telefilem ini.

Mengulas lanjut, Keena Mentor yang juga penulis skrip ini berkata banyak kelainan ditampilkan termasuk menggabungkan barisan peserta program pertandingan realiti televisyen.

“Ketika menulis cerita ini saya memang membayangkan mahu mengumpulkan barisan artis program realiti seperti Akademi Fantasia, Gegar Vaganza, Mentor dan program lawak.

“Disebabkan itu barisan pelakon yang membintangi telemovie ini adalah gabungan peserta-peserta program realiti TV.

“Mereka berbakat besar dan perlu diberi ruang dan peluang dalam industri. Saya harap penonton menyokong usaha ini,” kata Keena panjang lebar.

Diarahkan Mohamad Saridan Yeop Abd Rahim @ Shahridan Popeye, telefilem ini dibintangi Putra Amaris, Keena, Erul Samah, Hezry Gegar Lawak, Tom,Farhan Maarob dan ramai lagi.

Alur cerita yang bermula apabila Ammar seorang pelajar kolej yang suka mengkaji tentang kewujudan roh, misteri pulau penunggu dan susuk penampakan.

Ammar tidak mempercayai tentang kewujudan makhluk-makhluk halus yang sentiasa wujud di sekeliling manusia untuk menyesatkan mereka. – HIBGLAM.

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok