DIDAKWA ligat berhibur di sebuah kelab malam ketika berkunjung ke Indonesia, pelakon Nur Fazura menyifatkan itu sebagai tuduhan berat yang sengaja dilemparkan bagi menjatuhkannya.
Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin menegaskan, dia perlu bersuara bagi menangkis fitnah selepas penat dicemuh dengan pelbagai tuduhan liar.
Sebenarnya saya tak mahu komen panjang tentang hal ini kerana bertahun-tahun melalui perkara sama (provokasi). Saya ingatkan dah habis. Rupa-rupanya masih ada lagi.
“Saya pun manusia biasa dan tak pernah sebelum ini kata saya yang terpaling solehah, mengaji setiap hari atau sentiasa solat, cuma saya cuba menjadi muslimah lebih baik dan kekal istiqamah.
Tidak dinafikan saya masih pakai hoodie dan bertopi, malah saya selalu kongsi di media sosial, tapi untuk mengatakan saya berhibur di kelab malam, itu satu tuduhan yang sangat besar,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di acara Ngopi bersama Fazura, hari ini.
Tambah pelakon filem Pisau Cukur itu, sebagai pencinta muzik dan gemar menari, dia tidak menafikan berhibur sambil menari adalah satu rutin bagi meredakan tekanan kerja.
Kadang-kadang saya pergi karaoke dan makan bersama rakan-rakan, tidak semestinya ke kelab sebab banyak restoran sekarang yang gelap dan pasang muzik.
“Tetapi walaupun kita berhibur, kita tetap ingat kepada Allah. Tidak semestinya berhibur sampai lupa diri. Saya tahu setakat mana batas saya.
Nak ‘clubbing’ pun kat mana? Zouk pun dah tutup sekarang,” ulasnya lagi.
Pada masa sama, isteri kepada aktor Fattah Amin itu meluahkan rasa pelik apabila sering menjadi sasaran tohmahan walaupun hanya sibuk dengan hal sendiri.
Saya tak pernah kacau orang. Saya fokus pada kerja kehidupan, suami, dan keluarga, namun saya masih tak faham kenapa ada yang berterusan provokasi.
“Dalam kehidupan dan kerjaya saya tak pernah rancang untuk jatuhkan orang lain demi menaikkan diri sendiri,” ujarnya.
Fazura tidak ketinggalan menitipkan pesanan agar peminat mana-mana selebriti menghentikan segala bentuk provokasi terhadapnya.
Terdahulu, tular komen pengikut tegar seorang selebriti lain yang memperkatakan tindakan artis bertudung pergi ‘clubbing’ hanya berhoodie ketika berada di Indonesia, baru-baru ini.
“Nak ‘launching’ tudung baru nak ‘post’ pasal Palestin. Pergi negara seberang ‘clubbing’, buka tudung, pakai hoodie je, leher semua terdedah,” demikian komen netizen yang tular dalam TikTok.
Walaubagaimanapun, berdasarkan semakan, perkongsian dalam laman tersebut sudah dipadam. – HIBGLAM