Shuhada letak nama ibu mentua sebagai penjaga anak

MAHKAMAH Tinggi Syariah di sini, hari ini menetapkan tarikh 23 Januari bagi sebutan semula kes tuntutan hadanah penuh (kekal) dan interim (sementara) dua anak pelakon Hafidz Roshdi dan bekas isterinya, Nurul Shuhada.

Peguam syarie, Puteri Umi Kartini yang mewakili Hafidz memberitahu, pihaknya hanya meneliti permohonan defendan (Shuhada) hari ini yang ingin memasukkan nama bekas ibu mentua iaitu Wan Latipah Yusof sebagai penjaga.

Hari ini, defendan nak masukkan nama ibu dia sebagai pihak dan menuntut juga hak jagaan bagi dua anak mereka.

“Permohonan baru sahaja diberikan kepada pihak kami dan anak guam akan menelitinya sebelum membuat afidavit jawapan. Kes ini akan disebut semula pada 23 Januari tahun depan di hadapan hakim,” katanya kepada HibGlam di sini, hari ini.

Meskipun masih belum mencapai persetujuan bersama, Ummi berkata, pihaknya terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan defendan berhubung hak penjagaan dua anak mereka yang kini menetap di Perlis.

Pada peringkat ini, kami bersedia untuk berbincang mengenai hak penjagaan penuh dan kami juga tidak nafikan defendan sebagai seorang ibu namun Hafidz sebagai bapa ada juga hak bertemu dengan anak.

“Manakala kami juga memohon hadanah interim namun kami bersedia untuk sebarang tawaran penyelesaian secara baik,” ujarnya.

Sementara itu, peguam Syarie Nurfarhana Abd. Manaf yang mewakili Nurul Shuhada pula menjelaskan, pihaknya juga terbuka untuk menyelesaikan kes dengan cara yang baik.

“Pihak plaintif ada juga mohon hak penjagaan sementara tetapi semua itu agak menyusahkan anak-anak yang bersekolah di Perlis.

“Sebagai bapa dia seharusnya mempertimbangkan banyak perkara dan tidak praktikal berhubung tuntutan tersebut.

“Pihak Shuhada sendiri tidak pernah menghalang Hafidz untuk melawat anak-anak dan terbuka kalau nak dapatkan penyelesaian secara baik,” katanya lagi.

Terdahulu, isu tuntutan hak penjagaan dua anak pasangan ini sudah berlarutan sejak 1 April lalu selepas memfailkan dua hadanah (hak penjagaan) iaitu penuh dan interim (sementara) pula pada 12 Mei terhadap dua anaknya Humairah dan Umar.

Difahamkan, hadanah interim difailkan agar anak guamnya diberi hak lawatan yang tetap memandangkan setakat ini berlaku kesulitan untuk Hafidz berjumpa atau berkomunikasi dengan anak-anak.

Sementara, Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 27 Julai lalu mengesahkan lafaz cerai talak satu yang dibuat Hafidz terhadap Shuhada secara lisan pada 22 Februari lalu adalah sah dan mengikut hukum syarak.

Dengan itu, Hakim Syarie Siti Rahmah Hussin mensabitkan berlaku perceraian talak satu yang mana keputusan itu dibuat selepas mahkamah telah meneliti permohonan dan keterangan daripada kedua-dua belah pihak dalam perbicaraan sebelum ini.

Untuk rekod, Hafidz atau dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok