Berpura jadi gelandangan, Martha Stewart dikecam bodoh

IKON gaya hidup dan usahawan terkenal Amerika Syarikat, Martha Stewart berdepan kecaman selepas tindakannya mengenakan kostum menyerupai individu gelandangan sempena sambutan Halloween mencetuskan kemarahan netizen.

Kontroversi tercetus apabila personaliti popular berusia 85 tahun itu memuat naik gambarnya memakai pakaian lusuh dengan wajah disolek menyerupai kotoran serta memegang papan tanda tertera tulisan ‘I AM HUNGRY HELP ME!’

Bagaimanapun, tindakan tersebut disifatkan pengguna media sosial sebagai tidak sensitif, selain dianggap mempermainkan penderitaan golongan miskin dan gelandangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Martha kemudian memadam gambar tersebut sebelum tampil memberikan penjelasan bahawa kostum berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu gelandangan sebagai krisis serius di Amerika Syarikat.

Namun, penjelasan itu tidak meredakan kemarahan orang ramai apabila sebahagian netizen berpendapat penderitaan golongan kurang bernasib baik tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka atau kandungan promosi. 

Menyedari tindakannya mengundang kemarahan, Martha tampil memohon maaf secara terbuka dan mengakui kesilapannya melakukan kesilapan bodoh.

“Saya melakukan kesilapan. Saya memang bodoh ketika itu. Saya benar-benar minta maaf dan berharap peminat serta seluruh rakyat Amerika dapat memaafkan saya,” katanya.



 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok