‘Terima kasih Siti, kenangan ini akan saya simpan sampai bila-bila’

KEHADIRAN diraikan, penyanyi Noraniza Idris meluahkan rasa syukur dan terharu tidak terhingga melihat sambutan ramai selepas mengadakan persembahan ikonik bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza di pentas Konsert Tradisional Gema Bumantara di TM Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Pemilik nama penuh Nor Aniza Idris, 58, itu menyifatkan persembahan lagu Hati Kama semalam sebagai detik bersejarah dalam kerjaya seninya selain persembahan duet mereka pada temasya Sukan Komanwel pada1998 (Sukom98).

Pentas sudah sunyi tetapi kenangan malam tadi masih belum reda dalam hati saya. Terima kasih kepada semua yang hadir dan menyambut Hati Kama serta Dondang Dendang dengan penuh kasih.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selepas beberapa hari melalui latihan demi latihan, Alhamdulillah, Allah SWT pinjamkan kekuatan untuk Kak Ani menyempurnakan amanah ini

“Saat berdiri di hadapan kalian semua, segala penat terasa begitu berbaloi. Selepas Sukom98, malam tadi menjadi antara detik paling indah dalam lipatan sejarah perjalanan seni saya,” katanya dalam satu hantaran Threads.

Menerusi hantaran sama, dia turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan seperjuangan serta seluruh barisan produksi yang menjayakan konsert tersebut dengan penuh dedikasi.

“Rozi (pengurus Siti) dan Siti, terima kasih kerana masih mengingati Kak Ani. Jemputan ini sangat besar maknanya.

Diberi ruang untuk berdiri bersama dan menjadi sebahagian daripada keluarga Gema Bumantara ialah kenangan yang akan saya simpan sampai bila-bila.

“Tahniah Siti dan seluruh warga kerja kerana mengangkat muzik tradisional kita dengan begitu gah,” katanya lagi.

Dia yang diberikan jolokan Ratu Irama Malaysia itu turut menitipkan ucapan terima kasih kepada peminat setia yang tidak pernah jemu memberikan sokongan padu terhadap perjalanan seninya.

Buat kalian semua yang terus mendoakan dan menyokong, mungkin saya tak mampu membalas setiap satu tetapi percayalah, kasih kalian semua sampai ke hati.”

“Saya sangat menghargai kalian semua. Terima kasih kerana terus memberi tempat buat saya,” ujarnya.

Semalam, usai mendendangkan Hati Kama ciptaan Allahyarham Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah dan Hairul Anuar Harun, Siti sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada Noraniza yang sudi menerima undangan membuat persembahan.

“Terima kasih kak Ani kerana terlibat dan menjadi salah satu sejarah Gema Bumantara.

“Semua pun jadi saksi konsert terbesar tradisional.

Semoga kak Ani terus memartabatkan irama tradisional dan terima kasih menjadi idola penyanyi irama tradisional,” katanya.

Konsert Tradisional Gema Bumantara juga menjadi pentas bersejarah apabila Siti dan Noraniza kembali berduet menyanyikan Hati Kama selepas 26 tahun.

Selain Noraniza, tiga lagi penyanyi turut diundang pada konsert tersebut iaitu Haziq Rosevi, King Nassar dan Lesti Kejora.

Semalam, konsert yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dihadiri seramai 63,000 penonton sekali gus meletakkannya sebagai konsert tradisional terbesar dalam sejarah industri seni tanah air. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok