MISTERI lebam bawah mata dengan kesan luka kecil di wajah Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terjawab menerusi VT (rakaman video pendek) dimainkan pada konsert Tradisional Gema Bumantara malam tadi.
Melalui VT ditayangkan pada pertengahan konsert, Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin terjatuh ketika menjalani latihan konsert mega terbabit yang berlangsung di TM Stadium Nasional, malam tadi sekali gus mengakibatkan lebam kecil di bahagian wajahnya.
Siti dilihat berlatih melakukan aksi melompat menggunakan tali apabila kakinya tersadung sehingga menyebabkan beliau jatuh tersembam ke lantai.
Insiden itu menyebabkan kecederaan ringan, termasuk luka kecil di bahagian tepi dan bawah mata serta lebam pada pipi kanan.
Rakaman kejadian tersebut turut ditayangkan kepada lebih 63,000 penonton ketika konsert berlangsung.
Walaupun mengalami kecederaan, TokTi tetap meneruskan persembahan selama kira-kira tiga jam dengan menyampaikan lebih 30 lagu.
Rata-rata peminat memuji dedikasi dan komitmen pelantun lagu Cindai itu demi menghiburkan peminat sekali gus mengangkat muzik irama Malaysia ke tahap tertinggi.
“Adoi sakitnya. Moga Tokti kuat. Berderau darah tengok beliau jatuh.
“Yang kenal Tokti mesti tak pelik. Dulu masa arwah Pak Ngah hidup dia pernah bagi tahu. Masa lagu Balqis masuk AJL, dia (Siti) sendiri nak menari dan pukul gendang,” demikian antara komen netizen di TikTok.
Malam tadi, konsert anjuran SN Legacy Sdn. Bhd. dan Siti Nurhaliza Productions itu berjaya menghimpunkan lebih 63,000 penonton dengan rata-rata penonton hadir ke berbaju tradisional.
Turut mencuri tumpuan adalah kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyaksikan persembahan Biduanita Negara itu dari awal hingga akhir walau dibatasi keadaan cuaca tidak menentu. – HIBGLAM

