Pelakon dikeji hodoh kini dilambung dipuja

WAJAH tidak menepati cita rasa, bakat pula dipandang sebelah mata. Begitulah pahitnya realiti industri hiburan Korea Selatan, sebuah dunia glamor dengan standard kecantikan begitu ketat sehingga setiap inci penampilan seolah-olah perlu memenuhi acuan tertentu.

Kulit putih melepak, mata besar, rahang berbentuk V dan tubuh langsing sering dianggap pakej sempurna untuk menawan hati penonton.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti Korea Selatan yang pernah menjadi sasaran kritikan rupa paras, namun berjaya membuktikan bakat, karisma dan keperibadian mampu mengatasi penilaian dangkal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hwasa

Kulit sawo matang dan bentuk badan berisi pernah menjadi sebab Hwasa terus dikecam pada awal kemunculannya bersama kumpulan MAMAMOO pada 2014.

Berbeza daripada imej idola wanita yang lazimnya berkulit cerah dan bertubuh langsing, penampilannya dianggap tidak menepati standard kecantikan arus perdana Korea Selatan.

Kritikan bukan hanya berkisar tentang fesyen atau solekan malah segelintir netizen pernah mempersoalkan kelayakannya menjadi idola K-Pop sehingga muncul desakan supaya wanita tinggi lampai itu disingkirkan daripada MAMAMOO.

Namun, idola berusia 31 tahun itu enggan membiarkan penilaian orang lain menentukan masa depannya dan terus membina identiti berbeza, sekali gus menjadikan keunikan penampilan sebagai kekuatan.

Kini, Hwasa bukan sahaja dikenali kerana muzik dan persembahan pentas, malah menjadi simbol keyakinan diri sehingga menjadi inspirasi ramai artis serta wanita yang berdepan tekanan standard kecantikan.

Kim Go-eun

Memiliki mata tanpa kelopak berganda bukan penghalang buat Kim Go-eun mengukuhkan kedudukannya sebagai aktres papan atas.

Namun, perjalanan seninya pernah dicemari kritikan mengenai rupa parasnya yang dianggap tidak sepadan dengan hero dalam drama The King: Eternal Monarch (2020) dan Goblin (2016).

Kritikan berterusan itu pernah menjejaskan tahap keyakinan dirinya malah terpaksa mengingatkan diri bahawa penilaian orang ramai tidak sepatutnya menentukan nilai dirinya sebagai seorang pelakon.

Daripada mengubah penampilan semata-mata demi memenuhi kehendak masyarakat, si kecil molek itu memilih untuk mengekalkan keaslian wajahnya selain berjaya menampilkan pelbagai emosi mengikut tuntutan karakter.

Hasilnya, dia berjaya meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Baeksang Arts Awards menerusi lakonannya dalam Exhuma.

Dia terus mencabar kemampuan menerusi siri thriller psikologi The Price of Confession bersama aktres berpengalaman, Jeon Do-yeon selain mendapat kepercayaan jenama mewah Chanel.

Ryu Jun-yeol

Tidak memiliki wajah kacak mengikut acuan industri seni Korea Selatan tidak menghalang Ryu Jun-yeol daripada menjadi antara pelakon lelaki paling disegani.

Pun begitu, sebelum namanya diangkat sebagai bintang utama, aktor berusia 40 tahun itu pernah berdepan penilaian netizen yang mempertikai kelayakannya membawa watak romantik.

Walaupun lakonannya menerima pujian dalam drama fenomena Reply 1988 pada 2015, rupa parasnya tetap menjadi perdebatan sehingga muncul istilah ugly-handsome, merujuk lelaki dengan penampilan tidak konvensional tetapi memiliki pesona tersendiri.

Ryu Jun-yeol tidak membiarkan kritikan tersebut meruntuhkan keyakinannya sebaliknya terus memberikan tumpuan kepada ekspresi wajah, penghayatan emosi dan kemampuan menghidupkan karakter.

Kemuncak pengiktirafan hadir menerusi trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Baeksang Arts Awards bagi filem thriller The Night Owl sekali gus membuktikan bakat mampu membuka pintu lebih luas daripada rupa paras dan menutup mulut mereka yang gemar memandang rendah.

Jung Yi-rang

Di sebalik perwatakan mencuit hati, pelakon serta pelawak veteran Jung Yi-rang pernah menelan gelaran menyakitkan apabila dilabel antara pelakon wanita paling hodoh di Korea Selatan.

Penampilannya sering menjadi bahan jenaka, terutama ketika menjayakan watak komedi dengan solekan keterlaluan dan kostum pelik.

Memulakan kerjaya menerusi stesen penyiaran MBC pada 2008, Yi-rang semakin dikenali menerusi rancangan komedi satira Saturday Night Live Korea (SNL Korea).

Dalam program tersebut, dia sering membawa watak wanita bujang tidak laku, ibu garang dan pelbagai karakter eksentrik.

Malangnya, komitmen terhadap watak sedemikian menyebabkan penampilannya kerap disalah tafsir sehingga netizen sering melontarkan gelaran melukakan hati.

Namun wanita berusia 45 tahun itu menelan segala nista dan terus melangkah sehingga akhirnya memenangi anugerah Artis Hiburan Wanita Terbaik di Blue Dragon Series Awards sekali gus membuktikan kemampuan mencetuskan gelak tawa serta menghidupkan karakter jauh lebih bernilai daripada penilaian luaran semata-mata. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok