ENGGAN meraih kemasyhuran menerusi kontroversi murahan, pelakon Indonesia, Caitlin Halderman percaya bakat, keperibadian dan kualiti karya menjadi taruhan paling ampuh untuk membina nama dalam industri hiburan.
Bagi aktres berdarah campuran Belanda-Itali-Minangkabau itu, populariti menerusi gosip atau sensasi bukan sesuatu yang perlu dikejar kerana dia lebih selesa membiarkan hasil kerjanya menjadi ukuran kemampuan.
Prinsip itu dipegang teguh Caitlin sepanjang hampir sedekad mengharungi dunia hiburan termasuk ketika melangkah ke industri hiburan Malaysia menerusi drama bersiri Viu Original, The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan).
Hasil kerja

Dia bertegas tidak berminat mencipta kontroversi semata-mata demi melonjakkan nama, apatah lagi merasakan masih banyak ruang untuk mengembangkan kemampuan sebagai pelakon.
“Saya mahu orang mengenali dan menyukai saya berdasarkan hasil kerja serta siapa diri saya sebenarnya. Tidak perlulah menunggang kisah sensasi atau gosip untuk menaikkan nama.
“Saya ingin menghasilkan karya yang boleh dibanggakan, selain dikenali menerusi keperibadian saya. Itu sudah cukup.
“Malah dipilih membintangi drama bersiri The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan) bersama pelakon Malaysia juga bukan kerana isu panas,” katanya kepada HibGlam.
Berkunjung ke Kuala Lumpur bagi sesi promosi naskhah di saluran penstriman Viu itu, dedahnya perjalanan kariernya bermula sejak 2016 dengan berdepan pengalaman yang mendewasakan diri.
Tambah Caitlin lagi, dia bertuah apabila terus terpilih membintangi filem, Ada Cinta Di SMA, selepas menghadiri uji bakat buat kali pertama sebelum namanya meniti di bibir penonton setahun kemudian menerusi Surat Cinta Untuk Starla.
Kebolehan menyanyi juga menjadi antara kelebihan yang membantu melayakkan diri membintangi filem muzikal tersebut, sekali gus membuka ruang untuk namanya mula mendapat perhatian.
‘Sialan’ sensitif

Sejak itu, Caitlin lebih banyak terbabit dalam filem dan drama bersiri untuk platform penstriman digital berbanding sinetron televisyen yang memerlukan komitmen penggambaran lebih panjang.
Tidak menolak mudah berasa bosan, dia gemar mencuba sesuatu yang segar menerusi setiap projek lakonan, dan ingin terus belajar memperbaiki mutu persembahannya.
“Saya rasa tidak boleh dikatakan masih bergelut, tetapi tidak juga terlalu selesa. Saya percaya sentiasa ada ruang untuk memperbaiki diri dan proses itu tidak akan pernah selesai.
“Setiap projek mengajar saya sesuatu yang baharu. Sebab itu, saya sentiasa terbuka untuk belajar, termasuk apabila menerima peluang berlakon di Malaysia,” ujarnya.
Menerusi The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan), Caitlin berdepan cabaran berbeza apabila perlu membawakan watak yang jauh daripada karakter yang pernah dijayakannya sebelum ini.
Bukan hanya perlu mengubah penampilan, dia juga pertama kali melakonkan watak pembantu rumah selain melakukan babak dirasuk yang menguji keberanian sebagai pelakon.
“Dari segi penampilan sahaja sudah berbeza. Saya tidak pernah melakonkan watak pembantu rumah sebelum ini, begitu juga dengan babak-babak tertentu seperti kerasukan.
“Ketika pertama kali melakukan babak dirasuk, saya tertanya-tanya sama ada mampu melakukannya atau tidak. Namun, saya bersyukur dan berpuas hati dengan hasilnya,” ungkapnya.
Mengulas judul drama berkenaan yang dianggap berani dan berpotensi mengundang reaksi berbeza penonton, Caitlin berpandangan perkataan ‘sialan’ mungkin lebih sensitif dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Begitupun, dia melihat judul tersebut lebih mencetuskan rasa ingin tahu penonton mengenai siapa sebenarnya yang dimaksudkan sebagai perempuan sialan, berbanding membawa konotasi negatif secara keseluruhan.
Dalam masa sama, Caitlin mengakui pengalaman bekerja di Malaysia memberikan perspektif baharu apabila menyifatkan barisan pelakon termasuk Meerqeen dan Hannah Delisha serta pasukan produksi sebagai mesra, terbuka serta profesional.
Turut diusik berkenaan kunci bertahan dalam industri seni katanya, sikap membumi itu nombor satu kerana tidak guna cantik, bijak atau pandai berlakon jika sombong.
“Di mana pun kita berada, perlu sentiasa merendah diri kerana akan selalu ada orang yang lebih hebat daripada kita,” tuturnya menutup bicara.

