Kempen Beli Tiket Selamat elak pembeli tiket kena tipu

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi mengambil langkah proaktif menjaga kepentingan pengguna dalam menangani ancaman penipuan tiket acara dan konsert dalam talian menerusi kempen Beli Tiket Selamat (BTS).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata, inisiatif perlindungan pengguna pertama seumpamanya di Malaysia bawah kempen selama 24 bulan tersebut dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama penggiat industri hiburan dan agensi penjualan tiket

“Pra pelancaran BTS ini tepat pada masanya kerana negara kini memasuki musim acara utama atau KL Headline Season yang menyaksikan ribuan peminat berebut mendapatkan tiket konsert dan persembahan besar.

Kita melihat trend iklan tiket palsu tersebar begitu pantas di media sosial dan aplikasi pesanan ringkas, malah ada yang muncul hanya beberapa minit selepas sesuatu acara diumumkan, terutama apabila tiket rasmi habis dijual.

“Kempen diperkenalkan bagi memastikan peminat seni tanah air dapat membeli tiket dengan lebih selamat tanpa diselubungi kebimbangan menjadi mangsa penipuan,” katanya pada majlis pelancaran KL Headline Season 2026, malam tadi.

Menurut Fahmi, sindiket penipuan kini semakin licik apabila menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk wajah dan suara individu lain bagi memperdaya pembeli.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan saluran alternatif yang meragukan,” ujarnya.

Beliau berkata, portal rasmi belitiketselamat.my akan menjadi platform sehenti pertama di Malaysia yang membolehkan pengguna mendapatkan maklumat sahih berkaitan scam tiket, membuat laporan serta menyemak risikan penipuan semasa.

Pada masa sama, semua tiket yang dikeluarkan vendor sah di Malaysia bakal disertakan mesej nasihat BTS bagi menggalakkan pengguna hanya membeli melalui platform rasmi.

Kaunter bantuan khas BTS pula akan disediakan di beberapa lokasi terpilih bagi membantu mangsa penipuan mendapatkan nombor rujukan dan laporan lengkap daripada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam tempoh sekitar 15 minit.

Setiap laporan yang diterima akan membantu membina ekosistem risikan kebangsaan, sekali gus memudahkan amaran berkala disalurkan kepada pihak penguat kuasa,” ujarnya.

Begitupun, Fahmi menjelaskan kempen BTS tidak menggantikan fungsi agensi sedia ada seperti NSRC, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Sebaliknya, BTS bertindak memperkukuhkan usaha penguatkuasaan menerusi penyaluran maklumat yang lebih pantas dan tersusun.

Kempen yang dijadual berlangsung sehingga 2027 itu diharap mampu mengembalikan keyakinan pengguna serta memastikan industri acara langsung tempatan terus berkembang dalam suasana lebih selamat dan kondusif. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok