TIDAK sanggup melihat penyanyi Muss menanggung waktu kesukaran sendirian, derma kilat dibuka penganjur Konsert Biru Mata Hitamku bagi membantu isteri vokalis itu yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang.
Penganjur juga pengasas Icon Entertainment, Iman Tang membuat pengumuman mengejutkan sebelum persembahan mega tersebut berakhir apabila mengajak penonton yang hadir menghulurkan sumbangan.
“Ada pengumuman khas untuk anda semua. Terima kasih kerana hadir, terima kasih Jo Branko. Segmen ini saya sudah bincang dengan Jo dan rakan-rakan lain.
“Di saat Abang Muss kita dalam dua hingga tiga bulan ini berulang-alik ke hospital, empat bulan dia meluangkan masa menghiburkan kita semua.
“Saya nak minta keikhlasan kawan-kawan semua, kalau boleh tiada paksaan, kita nak buat sedikit derma kepada Abang Muss.
“Isteri beliau, Suraya Bahari atau lebih dikenali sebagai Kak Su, beberapa bulan kritikal di hospital sampai saat ini pun masih di ICU,” katanya dalam nada sebak, malam tadi.
Katanya lagi, kod imbasan QR juga tertera di skrin besar kiri dan kanan pentas bagi memudahkan penonton menghulurkan sumbangan ikhlas.
“Tetapi Abang Mus kuat. Dia masih menghiburkan kita malam ini. Ada kod QR di kiri kanan skrin, ambil gambar, tak perlu ‘transfer’ sekarang, esok lusa pun boleh.
“Mungkin satu hari, hari kita, hari ini hari abang Muss. Kita bantu Abang Muss kita meringankan beban bil-bil hospital, boleh? Terima kasih,” ujarnya.
Pada masa sama, Iman memuji anggota Barbarik itu yang tetap memberikan komitmen serta aksi bertenaga sepanjang lebih dua jam konsert berlangsung.
Terdahulu, Suraya juga pengurus Muss dimasukkan ke hospital pada 13 Jun lalu bagi menjalani pembedahan memotong kaki akibat komplikasi penyakit kencing manis.
Namun tahap kesihatannya semakin merosot susulan beberapa masalah lain termasuk tiroid dan jangkitan paru-paru sehingga memerlukan rawatan rapi di ICU.
Sementara itu, Muss atau nama sebenarnya Mustaffa Din, 58, menzahirkan rasa terharu dan penghargaan atas sokongan penganjur, rakan-rakan serta peminat.
Katanya, konsert berkenaan merupakan sesuatu yang paling penting dalam hidupnya biarpun berdepan ujian besar membabitkan insan kesayangannya.
“Pertama, terima kasih. Saya sebenarnya padam (lupakan) sekejap benda itu (isu kesihatan isteri) tapi okeylah ramai yang tahu.
“Ramai peminat tahu (isteri sakit), ramai yang bagi sokongan. Apa pun saya teruskan konsert ini.
“Saya rasa komitmen saya berada di atas pentas ini bersama mereka yang hadir merupakan antara hal penting dalam hidup saya.
“Terima kasih banyak-banyak,” ujarnya.
Selain vokalis Barbarik itu yang juga bekas anggota Wings, Konsert Biru Mata Hitamku turut dimeriahkan JoBranko, Eddie dan Black serta keyboardist jemputan, Lee.
Persembahan yang dihadiri 5,000 penonton itu diadakan bersempena ulang tahun ke-30 album studio ketujuh Wings menggunakan judul sama yang dihasilkan mereka dahulu.
Berlangsung dalam suasana hangat, sempat memdendangkan 20 lagu termasuk Enigma, Kerus Tak Bersarung, Nasib Kita, Bukan Kerana Matahari, Makam Kekasih, Satu Titik serta Krisis Dipertengahan Hidup.
Konsert tersebut juga memberikan penghargaan kepada dua pengkarya yang banyak bekerja dengan mereka dahulu iaitu Allahyarham JS Kevin Allahyarham Bob Lokman. – HIBGLAM
