BERKONGSI duka, penyanyi dan pelakon, Acong Sweet Child menyifatkan Allahyarham Joey sebagai seorang penggiat seni senior yang sentiasa merendah diri serta gemar membantu orang lain.
Menurut pemilik nama sebenar, Ahmad Fauzi Manat, 53, itu, pemergian vokalis kumpulan Bumiputra Rockers (BPR) itu yang rebah di depan matanya ketika beraksi di Istana Budaya malam tadi meninggalkan kesan cukup mendalam di hatinya.
“Arwah memang merendah diri, hanya cakap perkara yang baik-baik. Kalau bersembang dengannya, tiada pun hal tak elok dibualkan, semuanya seronok didengar.
Sepanjang mengenalinya, beliau sangat baik selain gemar bergurau. Kiranya, tidak kira orang muda atau lebih berumur, semua senang dengannya.
“Sebagai kawan serta teman seperjuangan, memang terasa kehilangannya, apatah lagi arwah rebah depan mata saya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
Joey, 63, menghembuskan nafas terakhir di HKL pada pukul 8.11 pagi tadi selepas beberapa jam dikejarkan ke hospital susulan rebah usai menyampaikan dua lagu di Istana Budaya, tengah malam tadi.
“Ditakdirkan malam tadi kami sama-sama terbabit pada program Laman Santai Seni Budaya Pesona Malaysia. Saya jadi pengacara majlis, arwah pula sepatutnya mempersembahkan tiga lagu.
Sebelum persembahan bermula, Abang Joey (panggilan) menyapa dan memeluk saya di belakang pentas.
“Namun, perubahan mula nampak sewaktu membawakan lagu kedua, Aku Hanya Serangga apabila dia mencangkung tiba-tiba tetapi berdiri semula sebelum ke belakang minta air. Kemudian beliau rebah,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Acong berkata, keadaan arwah ketika itu semakin tidak bermaya, sekali gus membuatkannya bersama penyanyi, Nizam Laksamana serta petugas pentas bertindak pantas membawakan kerusi.
“Bila saya tanya ‘Abang nak kerusi tak?’, dia angguk. Nizam Laksamana terus bawa kerusi naik ke pentas untuk arwah duduk.
“Atas nasihat pihak Istana Budaya, kami ambil keputusan untuk hentikan persembahan arwah serta-merta supaya dia dapat berehat,” katanya.
Sambung Acong, arwah kemudian dibawa ke HKL menggunakan ambulans yang sudah disediakan di lokasi persembahan.
Jenazah kini berada Masjid Ukay Perdana, Ampang untuk solat selepas sembahyang Asar di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana. – HIBGLAM
