Nekad cerai, tudung ‘melayang’, Julia Farhana tak berkudis dikecam

SANGGUP menempuh skeptikal demi lelaki tercinta, namun tidak sampai empat tahun terbina, mahligai perkahwinan pelakon Julia Farhana Mirin dan Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum tetap disinggahi badai.

Siapa mampu menolak takdir, malah bukan mudah mendedahkan hakikat sudah tujuh bulan tidak tinggal sebumbung dengan lelaki yang pernah menjadi arjuna hatinya.

Ketika bergelut dengan dugaan, muncul pula kecaman segelintir individu yang mengaitkan pula kemelut dilalui sama seperti kisah dilalui bekas isteri suaminya juga pelakon, Lufya.

Imej drastik

Bahkan, keputusan drastiknya membuka hijab yang mula disarungkan ke kepala beberapa bulan selepas berumah tangga turut menjadi bahan bualan netizen.

Bertubi-tubi dikutuk, pelakon filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang itu bagaimanapun hanya bungkam menelan rasa. Baginya, media sosial adalah ruang awam yang memberi kebebasan kepada sesiapa untuk bersuara.

“Jujurnya, saya langsung tidak terasa dengan komen negatif. Saya pun tidak baca sangat komen dalam media sosial, tetapi kadang-kadang ada juga ternampak andai mereka komen dalam platform saya.

Kalau orang mahu beri pandangan atau menghakimi, itu bukan tempat saya untuk menghalang mereka kerana media sosial adalah platform awam dan semua orang berhak bersuara.

“Cuma, jangan keterlaluan. Kalau perkara itu jatuh kepada fitnah, mereka tanggunglah,” katanya.

Bertukar ke topik imej baharu pula, personaliti popular berusia 32 itu juga enggan membalas setiap komen kerana beranggapan, hanya dirinya memahami fasa tersebut.

Akuinya tidak semua perkara mampu dijelaskan kepada umum, apatah lagi ketika dirinya masih cuba mencari kekuatan selepas hampir setahun berdepan kemelut rumah tangga.

Saya sedang melalui fasa yang hanya saya sahaja yang tahu dan faham. Apa sahaja yang saya katakan tidak akan nampak positif.

“Saya tahu apa yang saya lalui adalah sesuatu yang tidak boleh dijelaskan. Tiada perkataan untuk menerangkan apa yang sedang saya lalui,” ujarnya.

JULIA berharap kemelut rumah tangganya dapat segera dinoktahkan dengan perceraian.

Situasi tersebut tampak didepani dengan tenang bahkan seolah-olah lali dengan serangan kutukan, wanita berdarah campuran Melayu-Itali itu tampil pula dengan gaya lebih daring termasuk foto ketika mendapatkan rawatan di sebuah pusat kecantikan.

Doa netizen

Di celah-celah kutukan, ternyata masih ramai netizen mendoakan agar Julia dapat menemui kata sepakat dengan Dr. Che Muhammad Hafiz, seterusnya memutuskan jalan penyelesaian.

Akuinya juga, rata-rata netizen yang mengikuti perkembangannya tetap mendoakan dirinya beroleh ketenangan, tidak kurang juga berharap dirinya kembali manis bertudung.

“Perpisahan ini adalah keputusan bersama dan hubungan kami profesional dengan membawa haluan masing-masing.

Saya harap perkara ini berakhir secepat mungkin supaya saya boleh teruskan hidup. Kami akan bercerai dan itu keputusan muktamad,” kongsinya.

Sudah pasti hanya masa yang dapat menentukan penyelesaian isu dalaman pasangan terbabit tidak kira sama ada menerusi jalan perdamaian atau terus ke peringkat mahkamah.

Sebilangan besar individu yang pernah merasai situasi dilalui Julia juga memberikan respons bahawa pendedahan dibuat bukan mahu membuka pekung, sebaliknya sekadar menamatkan spekulasi liar.

Perceraian bukan sesuatu yang terkutuk, jadi saat tiada lagi persefahaman, cinta dan rasa kasih, mahligai perkahwinan sudah tidak berbaloi untuk dipertahankan, tinggal lagi janganlah sampai menghancurkan kehidupan.

Untuk netizen, andai Julia dan Che Muhammad yang nak cerai, jangan kalian pula mengumpul dosa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok