‘Bukan cipta gosip, mesra dengan hero demi kerja’

DALAM dunia hiburan, sekeping foto, video pendek atau gurauan bersama pasangan pelakon sudah cukup untuk mencetuskan spekulasi.

Ada yang menganggap kemesraan antara pelakon wanita dengan hero drama sebagai strategi meraih perhatian, malah tidak kurang juga pantas mengaitkannya dengan hubungan cinta lokasi.

Bagi pelakon Tracie Sinidol, 25, yang pernah dilihat mesra bersama hero gandingannya iaitu Jazmy Juma dan Hariz Hamdan, keserasian dipamerkan di hadapan kamera bukan sekadar taktik untuk melariskan sesebuah karya.

Sebaliknya, pelakon asal Keningau, Sabah itu mengakui sentiasa dihantui rasa bimbang setiap kali digandingkan dengan pelakon baharu kerana keserasian mereka bakal dinilai penonton.

Setiap kali membintangi drama atau filem baharu, saya pasti tertanya-tanya dan berasa takut sama ada mampu mewujudkan keserasian yang baik dengan pasangan atau tidak.

“Perkara itu akan terlihat di hadapan kamera, terutama apabila saya digandingkan dengan seseorang yang jauh lebih senior daripada saya,” katanya.

Menyedari keserasian tidak akan muncul dengan hanya menghafal dialog, Tracie memilih untuk terlebih dahulu memecahkan tembok kekok antara dirinya dengan rakan gandingan sebelum penggambaran bermula.

MUDAH mesra dengan orang sekeliling, tidak sukar untuk Tracie mencipta keserasian dengan rakan gandingannya dan tenaga kerja produksi.

Pendekatan tersebut bukan hanya dilakukan terhadap barisan pelakon, malah turut melibatkan pengarah serta seluruh tenaga produksi yang bekerja di belakang tabir.

“Saya akan cuba memecahkan suasana janggal sebelum kami memulakan babak bersama. Bukan hanya dengan pelakon, tetapi juga pengarah serta semua kru yang terlibat.

Apabila kami memahami matlamat yang sama dan keserasian itu berjaya dibina, ia sangat membantu saya untuk berlakon dengan lebih semula jadi,” ujarnya.

Bukan cipta gosip

Menjawab tanggapan bahawa dirinya sering menggunakan taktik yang sama dengan menunjukkan kemesraan bersama rakan gandingan, Tracie menyifatkan perkara tersebut berlaku secara semula jadi.

Katanya, kandungan yang dikongsi dalam media sosial kebanyakannya berkaitan projek lakonan yang sedang berjalan atau karya yang bakal menemui penonton.

Saya rasa semuanya berlaku secara semula jadi. Saya lebih banyak berkongsi mengenai projek semasa atau drama yang akan ditayangkan,” tuturnya.

Tracie juga percaya penonton hari ini semakin bijak membezakan antara promosi sesebuah karya dengan kehidupan sebenar anak seni.

Lebih-lebih lagi apabila karya yang dibintangi mengetengahkan kisah cinta, kemesraan antara barisan pelakon dianggap sebahagian daripada usaha menghidupkan jalan cerita.

Projek itu merupakan sebuah siri percintaan. Saya rasa netizen sekarang sangat bijak dan mereka tahu kemesraan tersebut berkaitan dengan jalan cerita, bukan untuk cipta gosip.

“Kami sebagai pelakon dan kru sangat terhutang budi dengan penonton kerana sentiasa menyokong filem serta drama tempatan. Tanpa penonton, industri hiburan kita tidak akan berada pada tahap sekarang,” katanya.

Namun, keterbukaan mempromosikan karya tidak bermakna Tracie bersedia menyerahkan seluruh kehidupannya untuk menjadi tatapan umum.

Kehidupan bersama keluarga dan rakan-rakan merupakan bahagian peribadi saya. Ia bersifat peribadi, tetapi bukan satu rahsia.

“Setakat ini, saya sangat berterima kasih kepada peminat kerana mereka menghormati batas tersebut,” katanya.

Berkorban

Biarpun perjalanan seni Juara Dewi Remaja 2021/2022 itu terlihat mudah, ujar Tracie, semuanya berkat rezeki yang diberikan Tuhan dan sokongan daripada peminat bukanlah kerana bakat yang dimiliki semata-mata.

TRACIE bakal muncul dengan drama baharu Gelora Asmara yang menggandingkannya dengan Shukri Yahaya.

Mengimbas detik awal menjejakkan kaki ke set penggambaran, Tracie mengakui pernah berasa kerdil, kekok dan terlalu gementar untuk berdiri di hadapan kamera.

“Seiring masa berlalu, saya mula menemui minat dan kecintaan terhadap pekerjaan ini menerusi setiap projek yang dijayakan.

Setiap pelakon, pengarah dan kru yang ditemukan memberi pengalaman sangat berharga. Semua itu membuatkan saya sentiasa menantikan peluang untuk kembali ke set bagi projek seterusnya,” ujarnya.

Di sebalik perkembangan kerjaya yang membanggakan, ada harga cukup besar perlu dibayar Tracie sebagai anak perantau.

Berjauhan dari tanah kelahirannya, Sabah menyebabkan dia ketinggalan banyak momen bersama keluarga dan adik-beradik.

“Setiap kali pulang dan bertemu mereka, saya sedar adik-adik sudah semakin tinggi. Banyak waktu serta detik membesar mereka yang tidak sempat saya saksikan.

Saya hanya mampu mengingatkan diri bahawa saya perlu bekerja bersungguh-sungguh supaya suatu hari nanti segala pengorbanan ini berbaloi. Saya mahu memberikan sesuatu kepada keluarga dan menggantikan masa yang sudah hilang,” luah anak kelima daripada sebelas adik-beradik itu.

Empat tahun berada dalam industri masih belum cukup membuatkan bintang drama Dendam Seorang Mentua dan Hilang Dalam Rindu itu menganggap dirinya sudah meraih kejayaan besar.

“Empat tahun sebenarnya masih terlalu pendek. Ibarat baru berada pada usia kanak-kanak yang sedang bertatih. Masih banyak lapisan dan jenis karakter yang belum pernah saya cuba.

Saya tidak berani mengatakan sudah hampir mencapai sesuatu. Saya sentiasa mencabar diri sehingga ke batas kemampuan dan belajar daripada komen pengarah serta maklum balas penonton,” katanya.

Atas dasar mahu terus memperbaiki diri, Tracie kini gemar menonton semula karya-karya terdahulu untuk meneliti kekurangan yang mungkin tidak disedarinya ketika penggambaran.

Sekarang saya banyak memberikan perhatian terhadap mutu lakonan dan menonton semula karya lama. Saya mahu mengenal pasti bahagian mana masih kurang serta memikirkan versi lakonan lain yang mungkin boleh dilakukan sekiranya diberi peluang.

“Saya juga sangat mencintai muzik dan nyanyian tetapi buat masa ini, kekangan jadual membuatkan saya belum boleh memberikan fokus sepenuhnya.

“Jadi, biarlah nyanyian kekal sebagai hobi sahaja dulu,” ujarnya.

Berbicara tentang perkembangan terbaharunya, Tracie bakal muncul dengan drama Gelora Asmara menerusi slot Samarinda TV3 yang menyaksikannya bergandingan dengan aktor hebat, Shukri Yahaya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok