TIADA lagi video membincangkan isu semasa dengan pelbagai loghat, pelakon Catriona Ross mengakui memilih untuk tidak lagi berbuat demikian bagi mengelakkan salah faham.
Ujar Catriona atau nama sebenarnya Catriona Norhayati Ross Bahrin, 45, tindakan itu dibuat selepas ada segelintir pihak menyamakan karakter berloghat Arab ciptaannya dengan seorang ustazah berasal dari Mesir.
“Sebenarnya video itu masih ada dan saya bukannya berhenti. Cuma pada awal saya mula buat video dengan menggunakan slang bahasa Arab, ramai salah faham dan menganggap saya cuba meniru seorang ustazah dari Mesir.
Mereka kata saya meniru serta mempermainkan beliau. Perkara itu tidak benar. Saya tidak tiru sesiapa. Itu cuma loghat atau lenggok bahasa Arab yang saya memang boleh buat.
“Bila orang mula menyamakan saya dengan ustazah itu, saya fikir lebih baik saya diam dan perlahankan dahulu. Mudah-mudahan mereka lupa, kemudian saya boleh cipta karakter lain tanpa orang menganggap saya sengaja mempermainkan sesiapa,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelakon telefilem Resepi Magis Bonda itu, penggunaan lenggok Arab dalam videonya bukanlah merujuk kepada sesiapa kerana terdapat ramai masyarakat berbangsa Arab menetap di Malaysia, termasuk agamawan dari Mesir, Yaman dan Lebanon.
Ramai orang Arab tinggal di Malaysia. Ada ‘sheikh’ dari Mesir, Yaman dan Lebanon yang memang bercakap begitu. Jadi tidak semestinya saya cuba meniru ustazah itu.
“Sebab itu saya pilih untuk diam sekejap bagi mengelakkan salah faham. Tapi sebenarnya rindu nak buat semula sebab orang suka karakter dan percakapan dengan slang Arab,” ujarnya.
Ditanya sama ada ustazah terbabit pernah berhubung dengannya mengenai isu berkenaan, Catriona berkata wanita itu tidak pernah menyuarakan sebarang bantahan.
“Ustazah itu tak ada cakap apa-apa. Tapi bila orang mula melabel, menyamakan dan menanda akaun beliau, saya bimbang lama-lama perkara ini akan menjadi kudis kepada keluarga ustazah sendiri.
Sebab itu, untuk elakkan salah faham, saya pilih untuk diam sekejap, saya mahu jaga hati keluarga ustazah,” jelasnya.
Paling penting kata Catriona, keputusan itu bukan didorong tekanan netizen, sebaliknya dibuat atas dasar menghormati keluarga ustazah terbabit.
“Saya rasa kalau suatu hari ustazah atau keluarganya hubungi saya dan bertanya, tentu saya berasa tidak selesa untuk menafikan sesuatu yang sejak awal memang tiada niat begitu.
Orang Arab yang sudah fasih berbahasa Melayu pun ramai di Malaysia. Jadi saya sendiri tertanya-tanya kenapa saya masih disamakan dengan ustazah itu.
“Netizen bebas berkata apa sahaja dan saya tak boleh mengawal semua itu,” jelasnya.
Sebelum ini, Catriona beberapa kali mencuri perhatian menerusi video komedi di media sosial, termasuk siri berkaitan situasi di lapangan terbang dengan penggunaan lenggok dan bunyi bahasa Arab.
Selain video hiburan, Catriona turut berkongsi pengalaman mengikuti kelas asas bahasa Arab, Al-Khuliyyah, secara serius. Sebutan serta lenggok Arabnya menerima pujian peminat kerana kedengaran semula jadi.
Bagaimanapun, sebahagian kandungan berkenaan kemudiannya disalah tafsir apabila netizen mengaitkan karakter tersebut dengan seorang ustazah dari Mesir, sedangkan itu adalah sebaliknya. – HIBGLAM
