SELEPAS membuka jualan tiket tambahan, kumpulan M-Pop, Alpha terus melakar sejarah apabila keseluruhan tiket Konsert The First Wave habis terjual dalam tempoh hanya dua jam.
Berita menggembirakan itu dikongsikan sendiri oleh syarikat pengurusan mereka, Rocketfuel Entertainment menerusi satu hantaran dalam Instagram Story.
Pencapaian tersebut sekali gus membuktikan pengaruh Alpha semakin ampuh selain memiliki kelompok peminat setia yang sanggup berebut mendapatkan peluang menyaksikan persembahan sulung kumpulan berkenaan secara langsung.
Sejak konsert diumumkan, keterujaan peminat jelas terasa apabila platform jualan tiket dibanjiri orang ramai sejurus jualan dibuka sehingga menyebabkan semua tiket licin dalam tempoh singkat.
Konsert ALPHA The First Wave dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 26 September depan dan dijangka menjadi detik bersejarah buat kumpulan tersebut.
Sebelum ini, Alpha mencipta sensasi apabila tiket konsert debut mereka habis terjual dalam tempoh kurang sejam selepas jualan rasmi dibuka.
Susulan sambutan luar biasa itu, ramai peminat meluahkan kekecewaan kerana gagal mendapatkan tiket sebelum menggesa pihak penganjur membuka jualan tambahan. – HIBGLAM.
